Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Abdul Samad bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Laluan Baharu Go KL di Terminal Bas Perkeliling, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini memperkenalkan satu lagi laluan baharu bas Go-KL iaitu laluan jingga bagi memperluaskan laluan ke kawasan berkepadatan penduduk tinggi di sini.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, laluan baharu perkhidmatan bas percuma di ibu negara itu mensasarkan golongan B40, kawasan perumahan kos rendah, perumahan awam dan kompleks kerajaan.

“Kerajaan terus mengambil inisiatif dengan merancang dari semasa ke semasa bagi memperluaskan laluan perkhidmatan bas Go-KL dengan mewujudkan laluan tambahan.

“Ia bukan sahaja tertumpu di pusat perniagaan tetapi diperluas ke kawasan berkepadatan penduduk tinggi, keutamaan kepada golongan sasar B40, Perumahan Kos Rendah (PPR), Perumahan Awam (PPA) dan kompleks kerajaan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Laluan Tambahan Bas Go-KL Laluan Hub Titiwangsa-Mindef, di Jalan Pangkor, di sini, hari ini.

Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Abdul Samad memotong reben sebagai gimik sambil diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Laluan Baharu Go KL di Terminal Bas Perkeliling, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 FEBRUARI 2019

Perkhidmatan bas percuma Go-KL yang mula diperkenalkan sejak 2012 hingga kini telah mencatatkan peningkatan penumpang sehingga 671 peratus, dari 8,450 penumpang kepada 65,145 penumpang sehari.

Khalid juga berkata, bagi tujuan itu juga pihaknya sebelum ini telah melaksanakan kajian serta penelitian terhadap beberapa laluan baharu yang dikenal pasti dan berpotensi untuk dilaksanakan sebagai projek perintis.

“Dua laluan tambahan yang dilaksanakan dalam masa terdekat ialah Laluan 5 iaitu hab Tititwangsa-Mindef dan Laluan 6 (PPR Sri Pantai-LRT Kerinchi.

“Laluan Hab Titiwangsa-Mindef telah dijenamakan semula sebagai Laluan Jingga diperkenalkan yang mula beroperasi hari ini.

“Manakala Laluan 6 bakal dilaksanakan bermula 1 April 2019 dan kekerapan bas untuk laluan baharu ini ialah setiap 15 minit,” katanya.

Go-KL
Pengguna BAS GO KL, Silvana Stela,26 melihat laluan baharu yang tertera pada papan laluan Titiwangsa – Mindef pada Majlis Pelancaran Laluan Baharu Go KL di Terminal Bas Perkeliling, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 FEBRUARI 2019

Laluan Jingga sepanjang 10.4 kilometer ini akan bermula dari Hab Titiwangsa (Hentian Bas Pekeliing, melalui Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Padang Tembak, Jalan Bukit Keramat, Persiaran Gurney, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Pahang.

Laluan baharu ini juga akan melalui beberapa kawasan berkepadatan tinggi iaitu Istana Budaya, Institut Jantung Negara (IJN), Pulapor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Pertahanan Awam, Kementerian Pertahanan (Mindef), Gurney Heights, Perumahan Pangsa Murni, Universiti Kuala Lumpur, Felda, JUPEN, SK Jalan Gurney, SK Raja Muda Abdul Aziz, Kg Baru Utara dan Hospital Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast