Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, difahamkan berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diberi UMNO.

Sumber SPRM yang dipetik Berita Harian berkata, Takiyuddin tiba di ibu pejabat SPRM Putrajaya jam 9.20 pagi tadi.

“Ya, (Datuk) Takiyuddin tiba di SPRM jam 9.20 pagi tadi, untuk direkod keterangan berkaitan dakwaan RM90 juta,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, SPRM mengesahkan siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan wang RM90 juta yang didakwa daripada 1MDB ke dalam akaun PAS.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.

Pada 8 Februari lalu, bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1MDB.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast