Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa berswafoto bersama orang ramai semasa hadir pada Program Santai Diambang PRK Bersama #Bossku sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Bilik Gerakan PDM Taman Pelangi Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MAC 2019

SEMENYIH – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan turun ke Semenyih lagi sekali sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ujarnya, beliau yakin BN akan merampas kembali kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya dah pakat dengan Datuk Johan (Abdul Aziz), kalau BN menang, saya datang lagi sekali. Kalau kalah, saya menyorok bawah meja.

“Di Semenyih ada tanda kita boleh menang,” katanya sambil disambut ketawa pengunjung ketika berceramah hari terakhir di Program Santai Ambang PRK bersama ‘Bossku’ di Taman Pelangi Semenyih malam ini.

MGF010319_SANTAI DIAMBANG PRK03
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai semasa hadir pada Program Santai Diambang PRK Bersama #Bossku sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Bilik Gerakan PDM Taman Pelangi Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MAC 2019

Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan bekas Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Najib semakin kuat berkempen di saat-saat akhir bagi memenangkan calon BN PRK DUN Semenyih, Zakaria Hanafi yang menentang calon muda daripada PH, Muhammad Aiman Zainali.

Esok, 53,411 pengundi biasa layak menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu selepas kematian penyandangnya, wakil PH, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon muda PH Muhammad Aiman Zainali dengan Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. -MalaysiaGazette