BUTETRWORTH – Pesawat Hawk yang telah mencapai usia 25 tahun dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih kekal relevan sehingga kini bagi melaksanakan tugasan utamanya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara.

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, malah pesawat itu mampu kekal sehingga 10 tahun lagi dengan beberapa penambahbaikan terutama dalam sistem dan teknologinya.

“Walaupun pesawat ini telah mencapai usia 25 tahun, tetapi dengan daya usaha daripada semua peringkat dalam TUDM telah menjadikan pesawat ini sebagai salah satu platform dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara kita.

“Memang ada keperluan untuk menambah jumlah pesawat itu yang ketika ini terdapat 19 buah di seluruh Malaysia, namun ia bergantung kepada sumber kewangan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Pesawat Hawk di Pangkalan Udara Butterworth, di sini hari ini.

Terdahulu, Affendi menaiki pesawat Hawk 108 dari Subang, Selangor yang diterbangkan oleh Pegawai Memerintah No 6 Skuadron Leftenan Kolonel Mohammad Syagol Abdul Hamid dan penerbangan beliau ke Pangkalan Udara Butterworth, di sini diiringi sebuah lagi pesawat Hawk 108.

Affendi berkata, sepanjang 25 tahun perkhidmatan, pesawat Hawk telah dioperasikan oleh tiga skuadron iaitu No 6 Skuadron, No 9 Skuadron dan No 15 Skuadron.

“Antara operasi terbesar yang melibatkan pesawat ini adalah Op Daulat pada Mac 2013 di mana lima buah pesawat Hawk telah ditugaskan bagi melancarkan serangan udara ke kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu, Sabah.

“No 6 Skuadron juga telah dipindahkan ke Pangkalan Udara Labuan dari Pangkalan Udara Kuantan setelah tamatnya Op Daulat. Pemindahan ini bagi memperkukuhkan pertahanan negara di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, pesawat Hawk turut digunakan sebagai pesawat latihan lanjutan bagi kursus peralihan pesawat pejuang yang dioperasikan oleh No 15 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth untuk melatih juruterbang muda mengemudi pesawat pejuang sebelum melayakkan mereka mengendalikan pesawat-pesawat pejuang yang lain dalam TUDM.

Empat pesawat Hawk turut dijadualkan terlibat dalam persembahan udara di Langkawi bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang dijangka berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini.

Sejarah permulaan perkhidmatan Pesawat Hawk TUDM bermula pada 15 April 1994 setelah penerimaan dua buah pesawat pertama melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara Malaysia dan kerajaan United Kingdom yang dimeterai pada 10 Dis 1990.

Ketika itu, Malaysia telah bersetuju untuk mendapatkan perkhidmatan 10 buah Hawk 108 dan 18 buah Hawk 208. Pesawat itu telah diterima secara berperingkat dengan dua buah pesawat pada setiap bulan sehingga mencapai keseluruhan 28 buah pesawat. – MalaysiaGazette