Muhammad Aiman menunaikan tanggungjawab mengundi bagi PRK Semenyih.

SEMENYIH – Calon Pakatan Harapan (PH)) Muhammad Aiman Zainali, 30, melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain pukul 8.18 pagi tadi.

Beliau ditemani isterinya Nurul Filzah Bakthiar yang tiba ke pusat mengundi sebelum pukul 8 pagi menyemak butiran peribadi daftar pengundi di kaunter semakan pengundi yang disediakan di sekolah tersebut.

Menantu penyandang kerusi DUN Semenyih Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu dipilih sebagai calon oleh PH pada 14 Februari lalu.

Seramai 2,326 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mengundi di SMK Engku Husain pagi ini.

Suasana mengundi pagi ceria dan tenang dengan pengundi Semenyih mengambil pendekatan keluar mengundi awal mengelak cuaca panas terik sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pegawai bertugas SPR di sekolah tersrbut menyediakan dua buggy dan tiga kerusi roda untuk kemudahan pengundi warga tua serta pengundi yang mempunyai masalah kesihatan.

Pilihan Raya Kecil di Semenyih diadakan selepas kematian Bakhtiar Mohd Nor yang merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Selain Aiman, turut bertanding dalam PRK Semenyih adalah Zakaria Hanafi, (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas Kuan Chee Heng yang lebih popular dengan gelaran Uncle Kentang.

Penjumlahan undi dan pengumuman calon menang dijangkakan sekitar 10 malam ini di Dewan Seri Cempaka MPKj. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast