Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof

SetakatSEMENYIH – Proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih terkawal setakat ini meskipun beberapa lokasi lalu lintas dilaporkan sesak.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, keadaan itu berjaya dikawal oleh anggota polis trafik yang ditempatkan dikawasan-kawasan tertentu.

“Keadaan di semua pusat daerah mengundi (PDM) terkawal dan baik. Setakat ini pihak polis juga tidak menerima apa-apa laporan berhubung sebarang insiden atau isu-isu panas,” katanya.

Beliau berkata selepas melakukan tinjauan di pusat mengundi Dewan Orang Ramai Semenyih di sini, sebentar tadi.

Menurut Ahmad Dzaffir, anggota polis trafik termasuk dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ditempatkan di 24 pusat mengundi bagi mengawal lalu lintas dan laluan keluar masuk.

Jelasnya, antara lokasi tumpuan iaitu setiap persimpangan Sungai Lalang, selain laluan ke Pekan Semenyih, Batu 26 Beranang dan Bandar Rinching serta laluan utama Kajang-Semenyih-Beranang.

Ahmad Dzaffir turut menasihatkan pengguna jalan raya yang tidak terlibat dengan proses mengundi agar mengelak daripada melalui laluan berkenaan dan menggunakan jalan alternatif di Jalan Eco Setia Hill, Jalan Ecoworld dan Lebuhraya LEKAS. – MalaysiaGazette