Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan rakyat yang memilih calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi sebagai mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Presiden PKR itu berkata, walaupun calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Aiman Zainali kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu malam tadi, namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) di pusat dan Selangor kekal kuat.

Kata beliau, kekalahan itu juga sebagai isyarat awal kepada kerajaan PH agar lebih memberikan perhatian kepada kebajikan rakyat.

“Saya menghormati pilihan yang dibuat oleh pengundi DUN Semenyih,” katanya ringkas menerusi ciapan Twitternya, hari ini.

BN dengan kerjasama UMNO dan Pas berjaya merampas kembali kerusi DUN Semenyih apabila Zakaria diumumkan menang dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria memperoleh 19,780 undi, menewaskan calon PH dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi

Dua lagi calon yang bertanding, Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 847 undi, manakala Kuan Chee Heng calon bebas hanya memperolehi 725 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Semenyih, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar pada jam 9.20 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast