Penjenayah kedua paling bahaya Itali, Marco Di Lauro ditangkap polis selepas 14 tahun hidup dalam pelarian. -Agensi

ROM – Ketua mafia yang hidup dalam pelarian sejak 14 tahun lalu, Marco Di Lauro ditahan oleh polis Itali di rumahnya ketika sedang makan pasta bersama dua kucingnya.

Operasi yang melibatkan 150 pegawai polis itu berjaya menangkap Marco, 38, yang merupakan anak ketua mafia, Paolo Di Lauro di pangsapuri yang dihuni bersama isterinya dekat daerah Chiaino, Naples tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Polis membenarkan Marco menukar pakaian dan membersihkan diri sebelum membawanya pergi, demikian menurut laporan media tempatan.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap nasib kucing-kucingnya.

Menurut Ketua Polis Naples, Antonio De Iesu, “aktiviti luar biasa”  membolehkan pihak polis menjejaki suspek yang sebelum ini telah dijatuhi hukuman akibat pelbagai kegiatan jenayah.

Pihak polis bagaimanapun tidak menemui sebarang senjata dan sejumlah kecil wang dalam pangsapuri berkenaan.

Waran antarabangsa telah dikeluarkan kepada Marco pada 2006 dan beliau merupakan antara empat penjenayah paling dikehendaki di Itali manakala media Itali menyifatkan beliau adalah lelaki kedua paling bahaya di negara berkenaan selepas bos mafia Sicily, Matteo Messina Denaro. – Agensi