Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih semalam, memberi petanda jelas bahawa perpaduan antara UMNO dan Pas telah menghasilkan kejayaan.

Peranan Pas diakui sangat besar dalam menentukan kejayaan calon BN, Zakaria Hanafi, namun kerjasama kedua parti itu masih lagi tidak kukuh dan perlu diakrabkan lagi, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya.

Sambil mengucapkan tahniah, beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengingatkan kemenangan BN bukan kerana hebatnya calon atau polisi parti itu, tetapi lebih kepada rakyat sudah tidak mahukan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji.

“Ia lebih kepada sentimen bukan ‘substance’ BN. Maka, BN harus ingat sokongan ini bukan kekal, malah sangat rapuh dan bila-bila masa boleh bertukar jika sikap dan perangai sama seperti dahulu,” katanya yang dipetik dari portal Ismaweb.net hari ini.

BN merampas semula kerusi DUN Semenyih selepas Zakaria memenangi persaingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria meraih 19,780 undi dengan menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi, manakala Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 847 undi dan calon bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng hanya memperoleh 725 undi.

Mengulas lanjut, Aminuddin percaya sikap kerajaan PH yang diterajui parti tamak haloba, DAP yang rakus dan sombong telah ‘memakan diri’ dengan kekalahan di Semenyih.

Justeru, katanya, jika perpaduan Melayu dikekalkan, tidak mustahil BN dan Pas akan memerintah kembali, tetapi kali ini janganlah kerana sentimen, tetapi biar kerana sikap dan pemikiran wakil rakyat UMNO yang berubah.

“Kita tidak mahu orang Melayu rasa semakin terpinggir, agama Islam makin tertekan. Kita minta kerajaan perlu berwaspada, dalam hendak menjaga hati orang Cina, jangan sekali-kali mengguris hati orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast