Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih baharu, Zakaria Hanafi (tiga kanan) meluangkan masa berswafoto bersama orang ramai semasa sesi walkabout bagi menemui masyarakat tempatan untuk melahirkan rasa penghargaan di Pasar Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 MAC 2019.

SEMENYIH – Walaupun mengakui dirinya sungguh teruja dan terkejut pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih yang baharu, Zakaria Hanafi mengakui dirinya sudah ‘sibuk’ serta tidak menang tangan.

Zakaria yang ditemui oleh sekumpulan pemberita di pasar Semenyih memberitahu, awal pagi lagi beliau mendapat berita kematian di Rinching dan bergegas ke situ sebelum bertemu pengundi.

Jelasnya, sehingga saat ini dirinya masih lagi seolah-olah berada di awang-awangan kerana sejak awal lagi beliau sudah dimaklumkan tentang persaingan sengit, apatah yang bertanding dalam kalangan parti milik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebenarnya, saya teruja tapi dalam keadaan terkejut lagi. Dari awal lagi saya tahu boleh bersaing tetapi tidaklah sehingga menang besar seperti ini. Saya sungguh berterima kasih dengan setiap yang meletakan keyakinan tidak berbelah bahagi kepada saya.

“Hakikatnya kini tanggungjawab itu menjadi lebih besar dan berat untuk saya, tapi akan saya pikul dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab. Itu adalah fokus utama dan akan saya ingatkan diri setiap kali. Pastinya rakyat telah meletakkan harapan menggunung terhadap saya.

“Sejak pagi tadi, ke mana-mana saya pergi, saya telah didekati oleh penduduk setempat, bukan untuk mengucapkan tahniah tetapi untuk meluahkan permasalahan mereka. Bukan sedikit, banyak yang perlu saya lakukan ketika ini.

“Ada guru berjumpa saya tadi, katanya bilik darjah kapasiti pelajarnya lebih 45 orang dalam satu kelas, selalunya 35 dan ke bawah. Ada juga berjumpa dengan saya tentang isu anjing liar. Saya sudah memulakan tugas sebagai wakil.

“Walaupun saya bukan dari dalam kalangan kerajaan pemerintah, tapi saya akan tetap gunakan setiap saluran dan menyuarakan permasalahan rakyat, dari kementerian, kerajaan negeri sehinggalah pihak berkuasa tempatan, semuanya akan saya jumpa.

“Fokus utama adalah membawa suara rakyat, perdengaran luahan mereka pada bila-bila masa serta menyelesaikan ianya tanpa memberikan bermacam-macam alasan, kerana mereka bosan serta muak apabila diberikan sebab mengapa sesuatu itu tidak dapat dilakukan,” katanya.

 

MGF030319_ADUN SEMENYIH WALKABOUT05

Beliau berkata demikian ketika sesi walkabout pagi tadi di sekitar pasar Semenyih, Zakaria berniat menemui setiap penduduk untuk menyatakan rasa penghargaan serta komitmennya dalam menjalankan tanggungjawab serta amanah itu.

Suasana di pasar pagi tadi juga boleh dikatakan sangat mengharukan apabila rata-rata penduduk, tidak kira latarbelakang dilihat, begitu teruja melihat kehadiran Zakaria.

Walaupun wujud persespsi perkauman menjadi salah satu agenda untuk meraih undi, namun hakikatnya penduduk Semenyih seolah-olah tidak kisah dengan wakil rakyat logo ‘dacing’ dan mereka mengucapkan tahniah kepadanya.

MGF030319_ADUN SEMENYIH WALKABOUT12
Gelagat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih baharu, Zakaria Hanafi melambaikan tangan kepada orang ramai semasa sesi walkabout bagi menemui masyarakat tempatan untuk melahirkan rasa penghargaan di Pasar Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 MAC 2019.

Ada juga yang mengingatkan beliau tentang tanggungjawab serta amanah yang perlu dipikul Zakaria selepas ini.

Barisan Nasional (BN) menerusi gabungan UMNO-Pas berjaya merampas kerusi Semenyih selepas menang dengan majoriti 1,914 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) malam tadi.

Zakaria berjaya memperoleh 19,780 undi bagi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi.

Dua calon lagi iaitu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul mendapat undi sebanyak 847 undi manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng pula memperoleh 725 undi.

Kejayaan BN ini sebenarnya kemenangan kedua secara berturut-turut selepas menang pada  PRK Cameron Highlands pada Januari lepas yang juga mendapat saingan cukup sengit daripada calon DAP. –MalaysiaGazette

MGF020319_PENGUMUMAN CALON03