Najib Razak

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) tidak pernah rugi dalam tempoh sepuluh tahun Datuk Seri Najib Razak menjadi pengerusi sayap pelaburan milik kerajaan itu.

Malah bekas Perdana Menteri itu berkata, nilai aset Khazanah juga tidak pernah turun dan naik dalam tempoh tersebut.

Katanya, setelah Pakatan Harapan (PH) mengambilalihnya, nilai Khazanah terus jatuh sebanyak RM25 bilion kepada RM91 bilion.

“Kejatuhan RM25 bilion bukan satu angka yang kecil. Boleh bayar hampir semua hutang 1MDB atau hampir setengah dari kos ECRL RM55b bilion.

“Tak apalah, RM91 bilion yang tinggal di Khazanah itu masih banyak. Banyak lagi aset negara boleh jual. Jual lagi semasa harga murah,” sindirnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tentang kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion Khazanah pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya, kerugian pertama dalam tempoh sepuluh tahun.

Khazanah berkata, keuntungannya terjejas disebabkan penghapusan pelaburan yang sedikit, pengurangan pendapatan dividen dan rosot nilai yang tinggi semasa tempoh peralihan untuk Khazanah dalam pasaran tidak menguntungkan.

Malah menurut Najib, dalam tempoh sepuluh tahun ketika beliau mentadbir, nilai aset bersih Khazanah telah naik RM82.3 bilion (244%) daripada RM33.7 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM116 bilion pada akhir 2017. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/05/khazanah-rugi-rm6-3b-dalam-tempoh-sedekad/