BEIJING – China mendakwa dua warga Kanada yang ditahan melakukan pengintipan.
Michael Kovrig, bekas diplomat dan Michael Spavor, seorang ahli perniagaan ditahan pada Disember lalu selepas Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou ditahan Kanada.
Kovrig, yang kini bekerja untuk kumpulan pemikir berpusat di Brussels International Crisis Group (ICG), “disyaki mengintip dan mencuri rahsia negara untuk ejen asing”, menurut laporan China.
Spavor didakwa “telah menyerahkan perisikan kepada Kovrig dan merupakan hubungan perisikan penting”.
Kovrig kerap memasuki China sejak 2017 dengan “pasport biasa dan visa perniagaan”, kata pihak berkuasa.
Meng ditahan atas permohonan Amerika Syarikat selepas dipercayai melakukan penipuan dan melanggar sekata ke atas Iran. Namun wanita itu menafikan dakwaan berkenaan.
Siri penahana itu telah menjejaskan hubungan antara China dan Kanada, malah penahanan dua warga kanada itu dilihat sebagai tindak balas terhadap tindakan ke atas Meng.
Kanada telah melaksanakan proses ekstradisi Meng pada Jumaat lalu namun ia masih di peringkat awal.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, kerajaan sangat bimbang dengan tindakan China menahan dua warga negaranya.
“Adalah malang kerana China terus melakukan tahanan sewenang-wenangnya dan kami akan terus membela dua rakyat kami,” katanya.
Trudeau sebelum ini menyeru pembebasan kedua-dua lelaki.
Setakat ini China masih belum memberikan butiran pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu, kecuali menyatakan mereka disyaki mengancam keselamatan China. – MalaysiaGazette