Dua pelajar lelaki sekolah menengah ditemukan lemas selepas dipercayai mandi di sungai berdekatan Kampung Tersusun Batu 4, Tambun, di sini, hari ini.

IPOH – Dua pelajar lelaki sekolah menengah ditemukan lemas selepas dipercayai mandi di sungai berdekatan Kampung Tersusun Batu 4, Tambun, di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.57 pagi berhubung kejadian lemas membabitkan dua remaja berumur 13 tahun itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa pertama ditemui kira-kira 10.12 pagi sebelum mangsa kedua ditemukan berdekatan 16 minit kemudian.

“Pencarian dijalankan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan turut dibantu Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Katanya, difahamkan kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakannnya pergi ke sungai berkenaan untuk bermandi-manda.

Bagaimanapun, kedua-dua remaja itu dipercayai dibawa arus ketika mandi manakala tiga rakannya selamat.

— BERNAMA