Kerajaan sedang dalam proses menentukan kaedah paling sesuai untuk mengenal pasti pemilik sah bagi pemegang akaun media sosial di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Gobind Singh

KUALA LUMPUR –  Kerajaan sedang dalam proses menggubal pindaan kepada undang-undang untuk mempastikan peruntukan mengenai sebarang ancaman terhadap perpaduan dan keselamatan negara menjadi lebih efektif.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata penggubalan itu juga meliputi undang-undang yang perlu untuk membendung dengan pantas dan berkesan penyebaran maklumat palsu dan berbaur perkauman.

“Perpaduan di antara kaum dan ketenteraman awam di dalam negara kita perlu diberikan keutamaan.

“Sebarang tindakan atau kegiatan yang boleh menjejas keharmonian di antara kaum seperti tindakan menghina mana-mana agama ataupun kaum tertentu yang boleh mengancam keselamatan negara, perlu dibendung.

“Tindakan yang tegas perlu diambil dengan serta-merta terhadap mereka yang melakukan sebarang kesalahan yang sedemikian,” katanya menerusi satu kiriman di laman Facebook hari ini.

Gobind Singh berkata demikian bagi mengulas laporan berita mengenai tindakan tegas dan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu selain memburu seorang suspek disyaki menghina agama Islam termasuk kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah.

Anggota Parlimen Puchong itu menegaskan peruntukan sedia ada di bawah Akta Kommunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain masih berkuat kuasa dan terpakai walaupun kerajaan dalam proses menyediakan pindaan yang dinyatakan.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan pantas terhadap aduan dibuat mengenai kes yang mampu menggugat keharmonian negara seperti yang termaktub di bawah undang-undang sedia ada tanpa sebarang kelewatan.

Katanya, sekiranya siasatan menunjukkan wujud kes terhadap mana-mana pihak maka kertas siasatan itu perlulah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan segera.

Menurutnya, SKMM juga telah mengambil tindakan yang tegas dan membantu agensi penguatkuasaan termasuk PDRM dalam menangani masalah penyalahgunaan media sosial.

Sehubungan itu, Gobind Singh berkata laporan SKMM menunjukkan 47 kertas siasatan telah dibuka bagi tempoh 2018 dan 2019 berkaitan aduan penyalahgunaan media sosial dan lima daripadanya telah dijatuhkan hukuman.

“Sebanyak 2,358 proses bantuan teknikal dan pengenal pasti maklumat bagi membantu proses siasatan agensi penguatkuasaan telahpun dilaksanakan dan sebanyak 3,047 akaun media sosial palsu yang disalahgunakan untuk menyebar mesej bersifat ekstremis, kebencian dan fitnah serta 1,163 akaun dengan kandungan sama dipadamkan dengan kerjasama platform media sosial antarabangsa,” tambahnya.- BERNAMA