SPRM

PUTRAJAYA – Pengerusi KTMB, Datuk Rameli Musa yang didakwa oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai pihak yang bertanggungjawab membayar RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle-Brown hadir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Bayaran tersebut didakwa bagi menyelesaikan kes saman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke atas editor Sarawak Report itu.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 10.05 pagi menaiki Velfire.

Selain isu RM1.4 juta, Rameli juga dijangka memberi keterangan bagi membantu siasatan isu dana UMNO sebanyak RM90 juta yang didakwa disalurkan kepada Pas.

Terdahulu sekitar pukul 10.02 pagi Yang DiPertua Pas Selayang Mohd Zaidy Abdul Talib berbaju biru lengan panjang bersama Mohd khoirol Anwar Mat Zuki turut berada di SPRM memberi keterangan.

Difahamkan, Rameli yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Balfour Beatty Rail (BBRail) Sdn Bhd baharu sahaja menerima surat lantikan daripada Menteri Pengangkutan (MoT) awal Februari lalu
.
Beliau menggantikan Datuk Nawawi Ahmad yang mengumumkan pengundurannya sebagai pengerusi pada Julai 2018, selepas Barisan Nasional kalah pada pilihan raya umum pada Mei lalu.

Kontrak Rameli dipercayai selama tiga tahun berkuat kuasa 1 Februari 2019.

Turut hadir ke SPRM hari ini, Yang Dipertua Pas Selayang, Mohd Zaidy Abdul Talib. – MalaysiaGazette