Datuk Seri Anifah Aman mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu mengembalikan hak-hak negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA) yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

Ia termasuk pembayaran royalti petroleum.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berkata, ia merupakan intipati utama dalam pertemuannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1 Mac lalu.

Beliau yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri tidak ada halangan jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu melebarkan sayapnya ke Sabah kerana ia selari dengan norma demokrasi.

“Saya akan tetap menyokong YAB Perdana Menteri dan Kerajaan selama mana matlamat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 ditunaikan.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada Perdana Menteri kerana menerima baik segala usul yang saya telah utarakan kepada beliau,” ujarnya. – MalaysiaGazette