Nik Omar Nik Abdul Aziz
Nik Omar Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyambut baik tindakan pantas kerajaan dalam menangani isu
penghinaan ke atas baginda Rasululullah apabila dua individu didakwa di mahkamah dalam tempoh kurang sebulan, baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, tindakan pantas kerajaan dalam menangani isu itu dengan mendakwa individu yang menghina Rasulullah membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah memandang ringan isu berkenaan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Pengenalan Gagasan Rahmatan Lil Alamin dalam pelaksanaan Islam di negara ini tidak membawa maksud bahwa kerajaan akan berlembut dengan sebarang bentuk perbuatan yang mencemarkan kesucian agama Islam.

“Umumnya sudah mengetahui bahawa tunjang kepada formula kejayaan Malaysia adalah semangat persepakatan dan saling memahami peradaban dan kehendak antara pelbagai kelompok etnik,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Omar, meskipun kerajaan hari ini sentiasa bersikap terbuka dan menyokong kebebasan bersuara serta kebebasan media namun masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa
peka dan berhati-hati agar tidak menyebarkan fitnah dan berita palsu serta mengambil kesempatan untuk mencetuskan ketidakharmonian antara agama.

“Kedaulatan agama Islam sentiasa diletakkan di tempat yang tertinggi berasaskan kepada kedudukannya sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang seharusnya sentiasa dihormati rakyat negara ini,” ujarnya lagi.

Justeru, YADIM menyeru seluruh rakyat negara ini supaya menghentikan sebarang bentuk provokasi khususnya yang berkaitan dengan agama di semua platform.

YADIM juga menyarankan dialog di antara agama diperbanyakkan bagi memberi kefahaman mengenai agama masing-masing dan seterusnya mencari titik-titik persamaan dalam isu sejagat seperti isu penindasan, pengganas, masalah sosial dan sebagainya.

Terdahulu YADIM juga menyokong penuh titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah agar menghentikan perbuatan mempersenda keperibadian Rasulullah SAW dan mencemar kesucian Islam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast