Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir pada Istiadat Keberangkatan Tiba Melafaz Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16. di Dataran Parlimen, KUALA LUMPUR. foto IQBAL BASRI, 31 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, berkenan melakukan lawatan dua hari ke Sabah bermula esok.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, berkata lawatan pasangan diraja itu turut diiringi anakanda baginda berdua serta beberapa pegawai kanan Istana Negara.

“Baginda berdua dijadual berangkat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas pada hari sama jam 3 petang bagi menziarahi pesakit yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

“Pada pukul 6.15 petang, baginda berdua akan berangkat ke majlis bacaan yasin, tahlil dan tazkirah di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu.

“Ini adalah lawatan sulung baginda berdua ke Sabah setelah Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Fadil berkata, pada hari kedua pula, baginda berdua dijadual berangkat ke Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi menghadiri sesi taklimat oleh MUIS.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Pahang dan negeri-negeri tidak beraja iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

“Selepas sesi taklimat oleh MUIS, Sultan Abdullah dijadual berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Kota Kinabalu, manakala Permaisuri Agong akan berangkat melawat Galeri Artisan iaitu Galeri Batik Sabah pada 10 pagi di Menara Tun Mustapha, Jalan Sulaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata baginda berdua dijangka mengakhiri lawatan di Negeri Bawah Bayu itu dan berlepas ke Kuala Lumpur pada Jumaat, 4 petang.

“Lawatan ke Sabah adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong sendiri, dan akan dilaksanakan secara bergilir antara Sabah dan Sarawak untuk memperkukuh ikatan silaturahim dengan penduduk di kedua-dua negeri itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast