Zulkarnain menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Tun Juhar di Balai Polis Karamunsing di Kota Kinabalu hari ini.

KUALA LUMPUR – Satu laporan rasmi akan diserahkan kepada beberapa pertubuhan dunia berhubung Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang disyaki dengan sengaja membantu memujuk beberapa orang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti.

Pengerusi Gerakan Suara Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan itu akan diserahkan kepada
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ratu England, Suhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Pertubuhan Hak-Hak Asasi Dunia di Amerika Syarikat.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi membantu hak bersuaranya agar terus dijamin dan mendapatkan perlindungan mengikut undang-undang di Malaysia.

“Harus diingat Yang Dipertua Negeri Sabah seharusnya perlu bebas daripada menyokong mana-mana ahli politik memandangkan Yang Terutama adalah payung dan simbol kepada seluruh rakyat Sabah yang berbilang bangsa, fahaman politik dan anutan agama.

“Undang-undang Sabah terpaksa digubal bagi membolehkan khidmat Juhar sebagai Yang Dipertua Negeri disambung semula, saya turut berpandangan ini adalah jelas seakan-akan satu imbuhan terhadap Juhar selepas membantu memujuk Datuk Seri Shafie Apdal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zulkarnain berkata, beliau turut membuat laporan polis ekoran mendapat maklumat bahawa pihak berwajib telah mendapat tekanan untuk mendakwanya mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia (SKMM) ekoran terbitan artikel yang disiarkan oleh sebuah laman portal tahun lepas kerana mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Juhar.

Terdahulu, Zulkarnain membuat laporan polis ulangan di Balai Polis Karamunsing di Kota Kinabalu mendakwa Juhar disyaki dengan sengaja membantu memujuk beberapa orang wakil rakyat Barisan Nasional pada 10 Mei tahun lepas untuk melompat parti bagi menyokong Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri Sabah.

Beliau mendakwa, perkara itu telah menyebabkan upacara mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri oleh Tan Sri Musa Aman sebelum ini terpaksa dilewatkan.
– MalaysiaGazette