SYDNEY- Harga minyak mentah susut 0.5 peratus pada dagangan hari ini berikutan unjuran hasil yang kukuh oleh dua pengeluar utama Amerika Syarikat.
Unjuran berkenaan menyebabkan usaha yang diterajui Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah tidak berkesan.
Niaga hadapan AS West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$56.15 setong, susut 41 sen atau 0.7 peratus.
Kontrak hadapan Brent antarbangsa pula masih belum didagangkan selepas ditutup 0.3 peratus lebih tinggi pada Selasa.
Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Edward Moya berkata prestasi minyak mentah seakan bermain tarik tali dengan janji pengeluaran hasil yang berkurangan ditimbal balas oleh kenaikan hasil dari AS.
Semalam, Chevron Corp dan Exxon Mobil Corp mengumumkan unjuran pengeluaran di Permian Basin dan ia memberikan petunjuk kenaikan besar dalam pengeluaran minyak syal.
Jika ia berlaku, peningkatan berkenaan akan mengukuhkan kedua-dua pengeluar itu sebagai peserta dominan di lapangan Texas Timur serta New Mexico dengan satu pertiga daripada pengeluaran Permian akan berada di bawah kawalan mereka untuk tempoh lima tahun. -Agensi