Azhar Azizan Harun
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menyerahkan Watikah Pelantikan kepada Mohd Nizam Tajul Urus sebagai Pegawai Pengurus bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sidang Media Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Serbaguna, Menara SPR, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 06 MAC 2019

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM15 juta bagi mengadakan tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan pada 13 April depan.

Menurut Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, jumlah itu terpaksa dibelanjakan bagi menguruskan ketujuh-tujuh PRK itu dalam masa tidak sampai setahun selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei tahun lalu.

“Peruntukan yang telah dibelanjakan pada enam PRK lepas termasuk PRK Rantau adalah berjumlah RM15,348, 7330,” katanya dalam sidang media PRK DUN Rantau di Ibu Pejabat SPR hari ini.

Bagi PRK Rantau April depan, SPR turut membelanjakan RM1.8 juta bagi proses pengurusan untuk proses penamaan, undian awal dan proses pengundian.

Ditanya samada badan itu akan melarang pemasangan sebarang kain rentang dan poster provokasi, jawab Azhar, perkara itu telahpun dibuat pada dua PRK lalu iaitu Cameron Highlands dan Semenyih.

Larangan itu turut termaktub kepada barong-barong panas pada hari pengundian PRK DUN Rantau.

“Kita sentiasa melarang banner yang provokatif dan boleh menimbulkan kemarahan dan sebagainya.

“Kita akan pantau barong yang didirikan. Kalau kita nampak ia sedang didirikan, maka kita akan suruh mereka berhenti. Kalau telah didirikan kita akan nasihatkan agar barong itu diruntuhkan seperti di Cameron Highlands dan Semenyih,” katanya.

Terbaharu, SPR akan mengadakan PRK DUN Rantau yang merupakan PRK ketujuh selepas DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) dan DUN Semenyih Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Azhar berkata, SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK DUN Rantau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast