Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR- Pas menyifatkan kerugian pertama dalam tempoh 10 tahun yang dicatatkan Khazanah Nasional Berhad merupakan tamparan hebat untuk kerajaan Pusat yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Parti Islam blok pembangkang itu berpendapat, kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion ini sendiri telah menterjemahkan kelemahan kerajaan dalam melaksanakan penyusunan dan penstrukturan semula syarikat milik kerajaan itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kebimbangannya supaya syarikat berkenaan tidak menerima nasib Tabung Haji apabila aset-asetnya diagihkan kepada SPV.

“Kerajaan juga digesa agar segera mengemukakan rancangan pemulihan prestasi syarikat ini termasuk memberikan penekanan kepada aspek pematuhan syariah dalam pelaburan serta membangunkan dasar dan inisiatif bagi membantu ekonomi Bumiputera,” katanya.

Tambah Mohd. Khairuddin, pengambilalihan syarikat ini pada Julai tahun lalu adalah dalam suasana pengurusan lama dikritik teruk oleh pemimpin PH.

“PH pernah mengkritik teruk syarikat Khazanah yang mana dikatakan pengurusan lama telah menyebabkan syarikat itu menyimpang daripada tujuan asalnya untuk membantu Bumiputera.

“Lebih mengecewakan, ada menteri masih bermentaliti pembangkang dengan berterusan menyalahkan kerajaan terdahulu berbanding menjelaskan punca sebenar syarikat itu merekodkan prestasi sedemikian.

“Mereka harus cari penyelesaian dengan membentangkan pelan pengukuhan jangka panjang bagi memacu semula kemajuan syarikat itu sekaligus menarik semula keyakinan para pelabur,” katanya lagi.

Beliau menggesa kerajaan PH segera mengemukakan rancangan pemulihan prestasi Khazanah Nasional termasuk memberikan penekanan kepada aspek pematuhan syariah dalam pelaburan serta membangunkan dasar dan inisiatif bagi membantu ekonomi Bumiputera.

“Walaubagaimanapun, saya tetap menyuarakan kebimbangan kemungkinan kerugian ini juga akan dijadikan alasan oleh PH untuk mengagih-agihkan aset syarikat ini kepada SPV seperti yang berlaku kepada Tabung Haji.

“Diharapkan ia tidak berlaku sedemikian,” tegasnya lagi.