Anwar Ibrahim
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 06 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Akhirnya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Menurut satu kenyataan daripada Setiausaha politiknya, Shukri Saad, nilai sebenar harta yang dimiliki oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu lebih RM10 juta.

Jumlah itu merangkumi sebuah rumah di Bukit Segambut yang dianggarkan bernilai RM9.5 juta.

Katanya, kediaman itu pada mulanya dibeli Anwar pada harga RM4.5 juta, selepas beliau menjual rumahnya di Bukit Damansara pada 2005.

“Turut diisytiharkan sebidang tanah di Permatang Habib, Mukim Penor, Kuantan, Pahang yang dibeli pada 1974 dengan harga RM7,000. Nilai anggaran tanah tersebut ketika ini ialah RM420,000.

“Harta selebihnya dari akaun-akaun pelaburan dan wang simpanan yang berjumlah RM828,658.83.

“Dengan ini, dimuktamadkan jumlah harta milik Anwar ialah RM10,748,658.83,” kata Shukri.

Pada 9 Disember lalu, SPRM dilaporkan berkata, Anwar antara 13 Ahli Parlimen belum mengisytiharkan hartanya kepada SPRM.

Selain Anwar, Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu yang merupakan ahli Parlimen Tambun juga belum mengisytiharkan harta.

Enam lagi wakil rakyat PKR turut belum mengisytiharkan harta masing-masing antaranya Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar), P Prabakaran (Batu), Datuk Seri Dr Santhara (Segamat), Awang Husaini Sahari (Putatan), Ali Biju (Saratok) dan Dr Michael Teo Yu Keng (Miri).

Turut tersenarai, dua ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Selain Shafie, seorang lagi wakil rakyat Warisan yang belum mengisytiharkan harta ialah Datuk Rozman Isli (Labuan). -MalaysiaGazette