Gambar hiasan

JAKARTA – Indonesia menjadi negara kedua di Asia Pasifik paling bahaya bagi wanita, menurut syarikat penyelidikan Value Champion.

Daripada 14 buah negara, India, Indonesia dan Filipina dianggap paling kurang selamat bagi wanita.

Kajian itu juga mendapati akses untuk penjagaan kesihatan juga di bawah purata, undang-undang yang lemah mengenai keselamatan wanita dan ketidaksamaan jantina secara keseluruhan sebagai punca mengapa ketiga-tiga negara tersebut dikategorikan sebagai lokasi tidak selamat bagi wanita.

India skor paling rendah, diikuti oleh Indonesia, yang menduduki tempat ke-13, dan Filipina pada ke-12.

“Budaya patriarki (sistem yang dikuasai lelaki) yang mendalam, sama ada disebabkan kepercayaan budaya atau agama, menyebabkan wanita takut untuk kesejahteraan mereka lebih kerap daripada di negara lain dalam senarai kami,” kata Anastassia Evlanova, seorang penyelidikan di ValueChampion.

Aktivis di Indonesia telah mendesak kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang mengenai keganasan seksual.

Rang undang-undang itu telah dibincangkan oleh Dewan Perwakilan sejak 2016 dan pertama kali dicadangkan selepas kes rogol dan pembunuhan seorang gadis berusia 14 tahun di Bengkulu pada tahun yang sama.

Keganasan seksual berleluasa di Indonesia. Satu tinjauan di seluruh negara yang dijalankan oleh Statistik Indonesia (BPS) mendapati satu daripada tiga wanita di Indonesia mengalami keganasan dalam kehidupan mereka.

Kajian tersebut menyenaraikan negara-negara di rantau ini mengikut keselamatan, penjagaan kesihatan dan peluang yang tersedia untuk wanita, dengan penekanan pada keselamatan.

Syarikat itu menggunakan data dari pelbagai sumber, termasuk Indeks Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Indeks Keamanan Global, Bank Dunia dan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Dalam laporannya, ValueChampion menyatakan bahawa data berkenaan mungkin tidak sempurna.

Sebagai contoh, gangguan seksual dan jenayah domestik tidak dilaporkan di setiap negara, oleh itu terdapat kekurangan data sebenar mengenai keganasan terhadap wanita.

Contohnya yang baik ialah Jepun, yang mana walaupun salah satu negara paling selamat di dunia, gangguan seksual yang teruk jarang dilaporkan disebabkan rasa malu dan sikap menyalahkan diri sendiri.

Jepun adalah negara keempat paling selamat bagi wanita di Asia Pasifik.

Lima negara teratas dari segi keselamatan wanita ialah Singapura, New Zealand, Australia, Jepun dan Taiwan. – MalaysiaGazette