KUALA LUMPUR – Masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat tepat mengenai sejarah awal Pulau Pinang terutama tanggapan mengenai pembukaan pulau mutiara itu oleh Francis Light pada 1786 itu adalah tidak benar, kata penyelidik sejarah negeri itu.
Pensyarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Ahmad Murad Merican berkata, usaha itu boleh dilakukan melalui media sosial, satu medium penyebaran maklumat yang pantas dan berkesan bagi mengubah tanggapan masyarakat selama ini.
Beliau berkata, medium itu berupaya menjadi penggerak utama menyampaikan maklumat yang tepat kerana kajian mendapati negeri berkenaan telah mempunyai penduduk sejak tahun 1730-an sebelum kedatangan wakil kompeni Inggeris itu pada 1786.
“Media sosial perlu digunakan kerana ia saluran yang berpengaruh dan kita sedang berusaha untuk mengalih kesedaran masyarakat kini berhubung tanggapan popular bahawa Francis Light membuka Pulau Pinang pada 11 Ogos, 1786.
“Kajian membuktikan bahawa terdapat kelompok masyarakat Melayu sejak tahun 1730-an di Pulau Pinang dengan adanya masjid, salasilah dan asal-usul,” katanya kepada pemberita selepas majlis Forum Wadah Cendekia ‘Francis Light Bukan Pembuka Pulau Pinang’ di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.
Antara usaha yang dilakukan beliau untuk memberi kefahaman jelas mengenai sejarah awal Pulau Pinang ialah melalui penulisan buku Batu Uban Sejarah Awal Pulau Pinang yang diterbitkan pada 2015 dan telah diguna pakai dalam silibus Buku Teks Sejarah Tingkatan Tiga sejak 2018.
Sementara itu, penulis buku Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, Ahmad Jelani Halimi berkata, tindakan Francis Light menduduki Pulau Pinang tidak mendapat izin Sultan Kedah Sultan Abdullah yang ketika itu adalah pemerintah bagi kawasan itu.
“Pendaratan Francis Light ke Pulau Pinang dan mengisytiharkannya sebagai koloni British adalah haram dan tidak sah kerana Sultan Abdullah tidak pernah memberi kebenaran kepadanya untuk berbuat demikian pada masa itu.
“Maka polemik sejarah pembukaan Pulau Pinang ini perlu dihentikan dengan memberi kesedaran kepada orang awam mengenai jaluran sejarah yang sebenar,” katanya. — Bernama