BEIJING – Seorang kanak-kanak yang jantungnya sudah terhenti selama 30 minit akibat tercekik pisang berjaya diselamatkan oleh sekumpulan doktor.
Kanak-kanak berusia setahun itu diselamatkan selepas lima orang doktor melakukan urutan jantung di sebuah hospital di Foshan, di Guangdong.
Seorang doktor menyifatkan pemulihan kanak-kanak itu sebagai satu keajaiban.
Mangsa dilaporkan stabil tetapi masih menggunakan mesin untuk bantuan pernafasan.
Kanak-kanak itu dikatakan telah dibawa ke Hospital Ibu dan Kanak-Kanak Shunde pada malam Ahad lalu oleh ibunya selepas mendapati dia tercekik.
Ibunya mendakwa memberi kanak-kanak itu makan pisang semasa mereka membeli-belah dan 10 minit kemudian mangsa didapati sukar bernafas.
Selepas 30 minit tiba di hospital, pernafasan kanak-kanak itu terhenti.
Para doktor telah menggunakan tekanan di dadanya sebanyak 3,600 kali semasa urutan tersebut.
“Selepas 30 minit jantung kanak-kanak itu kembali berdenyut lemah… kami teruja ketika itu. Keajaiban berlaku, kata seorang doktor yang bernama Lin Jian.
Doktor juga mengeluarkan pisang dari kerongkong mangsa.
Walaupun rawatan kecemasan itu berjaya, namun keadaan kanak-kanak itu belum berada tahap sepatutnya. – MalaysiaGazette