Tujuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan yang dipercayai melibatkan ketirisan mencecah RM3.1 juta, dua tahun lalu.

SEREMBAN – Timbalan Pengarah (Pengurusan) dan seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan palsu bernilai RM17,856.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Rahimah Rahim, selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa SPRM Negeri Sembilan, Mohd Khairi Abdul Karim.

Kedua-dua suspek wanita yang masing-masing berusia 42, dan 38 tahun disyaki bersubahat membuat pengesahan penerimaan bekalan atau perkhidmatan daripada RZ Biz Enterprise bagi Program Pengurusan Menangani Konflik Pegawai di Tempat Kerja di Depot Imigresen Lenggeng di Seremban, yang mana program berkenaan tidak dijalankan dan tiada bekalan atau perkhidmatan dibuat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Nov tahun lepas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – MalaysiaGazette