Ahmad Yakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan meluluskan lima projek utama pembangunan di Kelantan yang menelan kos sebanyak RM1.4 bilion.

Projek-projek itu ialah pembinaan LPT3 sejauh 150 kilometer bermula dari Gemuroh (Terengganu) ke Tumpat, menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, membina jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli, pembinaan jambatan Palekbang di Kota Bharu dan Lebuh Raya Central Spine Road (SCR) sepanjang 123
kilometer.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kelulusan itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan (MTNg).

Katanya, Kelantan turut menyambut baik keputusan Perdana Menteri dengan tidak membuat lantikan politik dalam MTNg dan buat pertama kali struktur majlis ini dirombak dengan melibatkan pegawai kerajaan negeri dan persekutuan sahaja.

“Kerajaan negeri melihat bahawa perlantikan Dato Seri Mohamed Azmin Ali selaku pengerusi MTNg Kelantan adalah tepat dan Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama terbaik kepada Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan semua projek-projek pembangunan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette