Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan berjumpa dengan lebih kurang 30 peniaga yang membantah tapak dijual kepada pemaju sehingga mereka perlu berhenti operasi perniagaan di Medan Selera Semarak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Peniaga-peniaga di Medan Selera Semarak yang telah diberi arahan supaya mengosongkan premis masing-masing diberi tiga pilihan dalam usaha menyelesaikan isu tersebut.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, 37 peniaga itu boleh memilih untuk kekal di situ tetapi akan berdepan dengan tindakan mahkamah.

Atau, mereka boleh berbincang dengan syarikat pemaju dan meminta pampasan tetapi pada masa yang sama perlu berpindah.

Peniaga-peniaga juga diminta berbincang dengan pemaju supaya menempatkan mereka di lokasi lain.

Nor Hisham telah memberi masa kepada semua peniaga berkenaan untuk berbincang sebelum kembali bertemu dengannya untuk menyatakan keputusan.

MGF09032019_DATUK BANDAR LAWATAN MEDAN SELERA SEMARAK09
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan 30 peniaga yang diarah menghentikan operasi perniagaan di Medan Selera Semarak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2019

“Mereka kena bincang dengan pihak pemaju cadangan untuk menempatkan balik semula tanah-tanah tempat lain.

“Kita syorkan tetapi bukan muktamad kawasan di Taman Kejiranan dekat Kampung Semarak. Itu pun kita kena semak balik,” katanya kepada pemberita selepas melawat medan selera itu.

Berkemungkinan katanya lagi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertanggungjawab menyediakan lokasi penempatan semula yang dipilih oleh para peniaga di situ.

Berdasarkan maklum balas yang diterimanya sebentar tadi, majoriti peniaga Melayu di situ memilih untuk ditempatkan di Taman Kejiranan di Kampung Semarak sebagai tapak baharu kedai-kedai mereka.

“Kalau pindah adakah DBKL akan sediakan? Insyallah,” jawab Nor Hisham.

Terdahulu semasa berbincang dengan peniaga sekitar 25 minit di Medan Selera Semarak, Nor Hisham menafikan bahawa  DBKL yang bertindak menjual tanah medan selera tersebut.

“Siapa yang jual? DBKL? Tunjuk bukti,” katanya menjawab dakwaan salah seorang peniaga.

Mengulas isu pembatalan lesen dan sewaan peniaga, beliau berkata, pihaknya akan menyemak terlebih dahulu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/09/peniaga-medan-selera-semarak-menangis-diarah-kosongkan-premis/