KUALA LUMPUR – Kedudukan Yang di-Pertuan Agong tidak akan sesekali terancam walaupun setelah Malaysia menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Itu adalah jaminan yang diberikan oleh Wisma Putra sejurus selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melontarkan kebimbangan Raja-Raja Melayu mungkin tidak lagi relevan selepas Malaysia bersetuju dengan statut berkenaan.

Wisma Putra dalam kenyataan sebentar tadi memberi jaminan kerajaan telah mengkaji secara mendalam semua aspek sebelum membuat keputusan menyertai Statut Rome baru-baru ini.

“Keputusan dibuat setelah kerajaan yakin bahawa kedudukan dan kekebalan SPB Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas. Kita sudah kaji dan teliti dari semua aspek sebelum mengambil keputusan ini.

“Kedudukan serta kekebalan Yang-DiPertuan Agong tidak terjejas,Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa SPB Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri,” katanya.

Baru-baru Tuanku Mahkota menyoal dalam laman sosialnya seandainya Statut of Rome ini akan mengancam kedudukan Raja-Raja Melayu.

Dakwa Tunku Mahkota, kedudukan Raja-Raja Melayu mungkin tidak akan relevan lagi selepas ianya ditandatangani dan sudah pastinya kedaulatan Raja-Raja akan tergugat sekaligus memberikan impak kepada kedudukan orang Melayu dan Islam.

Minggu lepas, Wisma Putra melalui Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penyertaan Malaysia dalam Statut Rome ICC mencerminkan komitmen negara terhadap usaha-usaha membanteras jenayah antarabangsa untuk mencapai keamanan dan keselamatan sejagat.

Saifuddin Abdullah
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah. foto IQBAL BASRI, 23 OKTOBER 2018

Saifuddin menandatangani  Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rome bagi ICC pada 4 Mac lepas.

Saifuddin juga telah mengemukakan instrumen kesertaan Malaysia itu kepada Setiausaha  Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama.

Wisma Putra menjelaskan, Jemaah Menteri pada 12 Disember 2018 telah memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan.

Jelasnya, Saifuddin telah sembahmaklum keputusan Jemaah Menteri itu kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah  Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah pada 15 Januari lalu.

ICC telah ditubuhkan di bawah Statut Rome dan telah berkuat kuasa pada tahun 2002.

Ia merupakan mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan triti dengan matlamat untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah antarabangsa yang sangat serius seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

“Sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab, Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang dan mengambil maklum akan peranan ICC sebagai pelengkap kepada sistem perundangan sedia ada,” kata Wisma Putra.

Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rome.

“Di kalangan negara-negara pihak ini terdapat negara-negara yang mempunyai sistem raja berperlembagaan seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom,” kata kenyataan lagi. –MalaysiaGazette