LONDON – Rekod tanpa kalah Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer akhirnya lebur selepas tumpas 0-2 di tangan Arsenal pada aksi yang berlangsung di Emirates Stadium, awal pagi tadi.
Berbekal kejayaan layak ke suku Liga Juara-juara, United terlebih dahulu memberikan ancaman berbahaya ke kubu Arsenal setelah Romelu Lukaku melakukan percubaan hasil hantaran lintang daripada Luke Shaw.
Percubaan penyerang antarabangsa Belgium itu bagaimanapun sekadar singgah di palang gol Arsenal yang dikawal Bernd Leno.
Tiga minit kemudian, Granit Xhaka meledakkan satu rembatan kaki kiri dari luar kawasan penalti yang mengelirukan David De Gea untuk gol pendahuluan buat tuan rumah.
Memasuki separuh masa kedua, United memburu gol penyamaan namun kesilapan Fred yang didakwa melakukan kekasaran terhadap Alexandre Lacazette dalam kawasan penalti memaksa pengadil perlawanan, Jonathan Moss menghadiahkan sepakan penalti buat Arsenal.
Peluang tersebut digunakan sepenuhnya oleh Pierre-Emerick Aubameyang yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-69 untuk gol kedua buat The Gunners.
Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan bagi meletakkan Arsenal di tangga keempat liga dengan mengumpul 60 mata selepas mengharungi 30 perlawanan.
Manchester United pula dua mata di belakang Arsenal untuk menghuni tangga kelima. – MalaysiaGazette