Heiko Maas. foto Agensi

BERLIN – Jerman menentang keputusan Turki menghalau keluar tiga wartawan negara itu.

Tiga wartawan itu ialah Thomas Seibert, wartawan Tagesspiegel; Jörg Brase, Ketua Biro ZDF dan Halil Gülbeyaz, wartawan televisyen NDR.

Menteri Luarnya, Heiko Maas berkata, tindakan Turki itu tidak boleh diterima dan beliau akan menentangnya.

Tiga wartawan Jerman diberi masa 10 hari meninggalkan negara berkenaan – ia merupakan kali pertama Turki menolak wartawan asing.

Tetapi dua telah meninggalkan negara itu semalam dan seorang lagi sudah pun berada di Jerman.

Tindakan tegas Turki itu membimbangkan dan ia menimbulkan persoalan berhubung kebebasan media di negara tersebut.

Sebelum ini, berpuluh-puluh wartawan Turki dipenjara kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan yang cuba melakukan rampasan kerajaan pada Julai 2016.

Seorang kakitangan akhbar Cumhuriyet telah dihukum penjara atas dakwaan pengganas.

Penasihat Kanan Presiden Recep Tayyip Erdogan menafikan kerajaan negara itu cuba menghalang kebebasan wartawan.

Maas memberitahu akhbar Tagesspiegel: “Tanpa media yang kritikal, tiada kebebasan demokrasi. Kami akan terus berkempen untuk wartawan supaya boleh bertugas tanpa tindakan undang-undang-di Turki dan di mana-mana”. – MalaysiaGazette