KUALA LUMPUR – Para pelabur asing didakwa masih tidak yakin dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Najib Razak.
Menurut bekas perdana menteri itu, pasaran saham negara masih belum pulih walaupun sudah 10 bulan kerajaan baharu memerintah.
Ekonomi Malaysia tiba-tiba teruk selepas PRU-14 dan dijangka berterusan pada tahun ini, katanya.
“Genap satu tahun dahulu iaitu pada 12 Mac 2018, indeks Bursa Malaysia adalah 1,861 mata. Pagi ini, saya tengok indeks Bursa jatuh ke 1,669 mata – jatuh hampir 200 mata,” kata Najib.
Sejak permulaan tahun 2019 sehingga kini, Malaysia adalah negara yang paling tinggi aliran keluar bersih dana asing dalam kalangan ASEAN berbanding Indonesia yang menyaksikan kemasukan dana asing.
“Ini bukan Najib yang kata. Ini data dari hasil penyelidikan syarikat kewangan MIDF Research dengan memetik data rasmi Bursa Malaysia.
“Bagi enam hari pertama dagangan dalam bulan Mac sahaja, pelabur asing telah menarik keluar dana sebanyak RM1.06 bilion dari pasaran ekuiti Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette