KUALA LUMPUR – Padi Nasional Berhad (Bernas) akan meneruskan penganjuran Anugerah Tani Bernas (ATB) pada tahun ini bagi menghargai kesungguhan golongan pesawah, pengilang dan pemborong dalam usaha melestarikan keharmonian industri padi dan beras negara.

ATB 2019 bakal diadakan pada 18 Mac ini di Hotel Palace of Golden Horses, Serdang.

Bernas dalam satu kenyataan berkata, anugerah itu merupakan satu platform yang ideal bagi memberi sokongan serta kerja keras rakan tani khususnya pesawah, pengilang bumiputera dan pemborong bumiputera yang tidak pernah jemu untuk saling melengkapi rantaian bekalan beras tempatan negara.

“Bernas yang mempunyai hubungan langsung dengan industri padi dan beras negara berharap penganjuran ATB 2019 dapat memberi dorongan kepada rakan tani yang lain untuk bersama-sama meneroka peluang dan ruang dalam industri bagi mengukuhkan sektor pertanian tempatan sekaligus menyumbang kepada peningkatan tahap sara diri serta peningkatan Jaminan Keselamatan Makanan Negara,” kata kenyataan itu.

Bernas berkata, sejajar dengan slogan Teguh Bersama, ATB 2019 yang telah masuk tahun ketiga penganjurannya juga diharap dapat mencetus semangat rakan-rakan tani yang lain khususnya pesawah untuk meningkatkan amalan baik pertanian dan pengurusan ladang atau Good Agricultural Practice.

“Setelah memperkenalkan Anugerah Srikandi bagi pada tahun lalu, satu anugerah khas akan diberikan kepada pesawah yang telah banyak membantu menyemarakkan industri makanan utama rakyat Malaysia ini.

“Selain itu, ATB 2019 juga bakal menyaksikan 11 anugerah diberikan kepada rakan tani, di mana tujuh anugerah bagi pesawah, dua anugerah pengilang bumiputera, manakala dua lagi merupakan anugerah bagi pemborong bumiputera yang cemerlang sepanjang tahun 2018,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast