Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Amalan kerajaan terdahulu dalam memberi gaji yang tinggi kepada penjawat awam sehingga puluhan ribu ringgit yang menyamai swasta akan dihapuskan.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka bukan sahaja menerima gaji yang terlampau tinggi malah ‘khidmat’ mereka sebenarnya tidak diperlukan.

“Kerajaan terdahulu yang baru sahaja hilang kuasa sebelum ini telah menubuhkan bermacam-macam badan dengan memberikan gaji cukup besar, kononnya gaji itu perlu sama taraf dengan swasta.

“Ini yang menyebabkan kos meningkat. Semua ini akan kita hapuskan, (gaji) mereka bukan sahaja tinggi malah sebenarnya khidmat mereka tidak diperlukan. Kononnya mereka akan memperbaiki keadaan ekonomi negara.

“Tetapi sebenarnya eknomi negara tidak dapat apa-apa kesan baik daripada tindakan mereka. Badan-badan akan kita hapuskan. Juga ada dalam kerajaan, kerja-kerja yang mampu dilakukan oleh seorang tetapi digajikan tiga orang pula. Kita boleh buat kerja yang sama dengan bilangan yang lebih sedikit.

“Ini juga sebenarnya salah satu amalan pengurusan yang telah diamalkan oleh pihak swasta selama ini. Ini juga satu alasan untuk tambah jawatan dengan memberikan pekerjaan kepada ahli parti. Ini bukan cara kita,” katanya.

Mahathir menjawab persoalan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Datuk Seri Ismail Mohamed tentang pengurangan penjawat awam ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Perdana Menteri, beliau berpendapat selepas ini adalah lebih baik untuk mengambil pekerja baharu seandainya ada keperluan terdesak dan bukan sebaliknya.

“Seperti pengambilan anggota polis dan tentera, kita akan lakukan tetapi yang membazir, yang menyebabkan belanja kerajaan semakin meningkat dengan tinggi dan kenaikan gaji sehingga 25 peratus ini tidak dapat diamalkan selepas ini.

“Jika kita amalkan amalan ini, maka wang tersebut untuk tujuan pembangunan negara berkurangan dan negara ini tidak akan dapat dibangunkan selepas ini,” ujarnya.

Mahathir mendakwa penjawat awam sebenarnya telah digajikan oleh kerajaan terdahulu atas agenda mendapatkan sokongan serta undi.

Dakwaan itu menyebabkan Ahli Parlimen Ketereh (BN), Tan Sri Annuar Musa bangkit bertanya bagaimana Mahathir boleh menghina sedemikian rupa.

Malah soal beliau, jika ia berlaku mengapa anggota polis dan pegawai penjara di Semenyih tidak pula mengundi kerajaan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini.

“Tidakkah ini satu penghinaan buat tuduhan terhadap penjawat awam sehingga mereka terpaksa ‘dibeli’ untuk mendapatkan undi?

“Jika begitu logiknya, jadi mengapakah penjawat awam seperti polis dan pegawai penjara tidak pula mengundi kerajaan pada PRK Semenyih?” soal Annuar.

Kata Mahathir, bagai terang lagi bersuluh pada Pilihan Raya Umum ke-14, ada kakitangan dan penjawat awam dilihat secara terbuka berkempen untuk kerajaan pemerintah ketika itu.

“Kita lihat dulu kakitangan kerajaan tidak ambil bahagian dalam politik tetapi pada PRU lepas, kita lihat pejawat awam memakai baju biru berkempen. Pergi sana sini, itu adalah hasil daripada apa yang saya cakap tadi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast