KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa agar meneruskan perkhidmatan Malaysia Airlines (MAS) biar pun syarikat penerbangan negara itu mengalami kerugian.
Menurut beliau, MAS tidak boleh diganti dengan mana-mana penebangan lain yang ada kerana ia adalah kebanggaan Malaysia di mata dunia.
“Ia langkah yang salah sebab MAS adalah kebanggaan negara. Ia perlu diteruskan sebab kerana MAS adalah penerbangan negara, dan perlu ada langkah pembaikpulih.
“Sewaktu saya jadi Pengerusi Khazanah, langkah pembaikpulih yang dirancang membuahkan hasil namun ia perlu lebih banyak masa.
“Tidak ada sebab mengapa MAS perlu dijual dan ditutup. Itu langkah yang salah dan tentunya rakyat tidak akan sokong langkah itu,” katanya ketika hadir hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Najib turut menasihatkan agar kerajaan PH menggunapakai langkah yang telah digerakkan barisan Nasional (BN) sebelum itu dalam memulihkan kembali MAS.
Ujarnya, BN sebelum ini terpaksa membiayai MAS sebanyak RM1.6 bilion sewaktu syarikat penerbangan itu mengalami kerugian.
“Kita (dulu) ada pelan pemulihan. Jadi perlu kembali kepada rancangan itu. Kita yakin semasa saya masih berjawatan bahawa kita mampu untuk membaikpulih MAS.
“Kita lakukan perbehentian sukarela besar-besaran dan kita turunkan jumlah pekerja dalam MAS dan kita sudah keluarkan laluan yang tidak sesuai dan kita tidak teruskan laluan itu,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu membuat keputusan berdasarkan beberapa pilihan sama ada syarikat penerbangan negara itu perlu ditutup, dijual atau dibiayai semula kerana syarikat penerbangan menyebabkan negara menanggung beban hutang.
Najib turut berkata, PH perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa MAS mengalami kerugian hampir RM6.3 bilion selepas 10 bulan diambil alih kerajaan pimpinan Mahathir.
“Setiap tahun dalam pemerintahan BN kita telah mencapai keuntungan sampai RM3-4 bilion setahun. Mengapa dalam masa 10 bulan sudah rugi RM6.3 bilion. Ini satu persoalan yang mereka kena jawab,” katanya lagi.
Baru-baru ini, pengasas firma perunding penerbangan Malaysia yang berpangkalan di Endau Analytics, Shukor Yusof berkata, tidak akan ada isu kapasiti jika MAS ditutup kerana kekosongannya akan diisi oleh syarikat penerbangan lain.
Khazanah Nasional Berhad buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.3 bilion pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya.
Kerugian itu kata Khazanah adalah disebabkan pelaburannya dalam MAS yang gagal memperbaiki prestasi syarikat penerbangan itu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/12/kerajaan-akan-putuskan-sama-ada-tutup-jual-atau-biaya-semula-mas/