PETALING JAYA – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Salam Malaysia (Salam) akan menghantar lima sukarelawan untuk ke Tanzania bagi misi kemanusiaan.

Kata Ahli Lembaga Pengarah Amanah yayasan itu, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid, program bantuan itu akan berlangsung sebulan bermula 29 April hingga 9 Jun 2019 yang bakal memfokuskan peningkatan ilmu pendidikan selain mengimarahkan bulan Ramadhan menerusi sedekah kepada penduduk yang memerlukan di negara benua Afrika yang majoriti penduduknya dalam keadaan daif.

Misi ini dilaksanakan bersama-sama Muzdalifah Islamic Charitable Organization dan Al-Ansari Foundation Tanzania.

“Tiga misi program itu adalah membina makmal komputer di 4 buah sekolah rendah di Zanzibar, satu perkampungan dalam Tanzania.

“Selain itu memberikan bantuan peralatan pembelajaran kepada 500 pelajar miskin terpilih seperti beg sekolah, alat tulis, buku nota dan buku kerja sekolah menengah yang sama selain mengangihkan 1,000 pek makanan kepada keluarga miskin di perkampungan Pulau Tumbatu, Chwaka, Chukwani dan Bumbwin,” katanya ketika sidang media perasmian Misi Jemanusiaan ke Tanzania 2019 oleh Salam sebentar tadi.

Untuk rekod di Zanzibar sebuah wilayah dalam Tanzania,hanya 4 daripada 147 sekolah rendah yang mempunyai kemudahan komputer, dengan populasi penduduk 2.1 juta yang kebanyakannya bekerja sebagai petani.

Sehingga kini, kelengkapan untuk 3 buah makmal komputer telah lengkap namun masih memerlukan dana untuk membina sebuah makmal sahaja lagi dengan anggaran peruntukan RM20,000.

Selain itu Salam masih memerlukan RM16,500 untuk kelengkapan alat tulis termasuk RM50,000 untuk mencukupkan bantuan pek makanan, menjadikan keseluruhan dana yang masih diperlukan oleh NGO itu sebanyak RM86,500.

Justeru NGO itu merayu kepada mana-mana badan korporat, agensi kerajaan dan individu yang mampu memberi sumbangan dalam bentuk wang dan peralatan bagi menjayakan Misi Kemanusiaan ke Tanzania 2019 sebulan sahaja lagi.

Salam merupakan NGO yang ditubuhkan sejak 1977 dengan memperomosikan semangat menjadi sukarelawan membantu golongan yang memerlukan.

Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh terus ke Yayasan Salam Malaysia di Petaling Jaya atau derma boleh disalurkan ke akaun NGO itu di CIMB Bank (nombor akaun: 8002382416). -MalaysiaGazette