foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi berpendirian penjawat awam perlu dikurangkan dengan memberi contoh dasar penswastaan yang diperkenalkan pada 1983 sebelum ini masih lagi relevan dan boleh digunakan pada masa ini.

Beliau sekali menarik perhatian tentang bagaimana sejak 2003 ketika meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4, jumlah anggota perkhidmatan awam hanya sekitar 1 juta kini sudah meningkat kepada 1.7 juta orang dengan peningkatan 700,000 orang.

Menurut Dr Mahathir merangkap Ahli Parlimen Langkawi, pada tahun 1983, kerajaan telah memperkenalkan dasar penswastaan yang telah menyentuh peranan pihak swasta dalam pembangunan negara.

Jelas beliau, menerusi dasar tersebut  antara lain kerajaan sebenarnya berjaya mengurangkan bebanan kewangannya, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembahagian sumber secara cekap.

“Ini dapat dilihat contohnya melalui kejayaan penswastaan Telekom, kakitangan Telekom dipindahkan ke syarikat swasta dan hal itu mengurangkan pekerja dalam kerajaan dan pekerja mendapat pakej gaji yang lebih baik.

“Kecekapan juga dapat ditingkat yang secara langsung dinikmati rakyat secara keseluruhannya. Kita dapati strategi ini masih relevan bagi menangani isu jumlah anggota perkhidmatan awam yang dilihat terlalu besar dan memberikan implikasi kewangan yang membebankan.

“Penumpuan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti dan penggunaan sumber tenaga secara optimum, kerajaan sedar bahawa apabila kita kurangkan saiz maka akan berlaku pula masalah tidak bekerja, dan ini akan menimbulkan masalah sosial.

“Sebab itu kita perlu bangunkan bidang pembuatan umpamanya supaya lebih ramai yang boleh berpindah daripada bekerja dengan kerajaan kepada kerja dengan swasta. Ini sekaligus akan meningkatkan keupayaan mereka supaya hasil kerja mereka lebih tinggi daripada menjadi pegawai biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krau (BN), Datuk Seri Ismail Mohamed tentang rasional cadangan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam dan adakah kerajaan bercadang menyemak semula tangga gaji penjawat awam diluluskan kerajaan terdahulu dalam Bajet 2018.

Menurut perdana menteri, saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar menjadi kebimbangan sejak sekian lama kerana ia meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan sekaligus mengecilkan peruntukan perbelanjaan pembangunan.

“Sekiranya tidak dikawal, kos perbelanjaan mengurus ini akan memakan sebahagian besar daripada belanjawan negara setiap tahun serta mengakibatkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan berikutan ketidakmampuan kerajaan berbelanja untuk projek-projek pembangunan yang boleh menjana kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.

“Kerajaan berpendapat jumlah ini boleh dikurangkan tanpa menjejaskan prestasi penyampaian perkhidmatan dan punca pendapatan pegawai yang terlibat. Selain itu, pengecilan saiz perkhidmatan awam tidak bermaksud pengurangan peluang pekerjaan. Ini terutamanya apabila berlaku penswastaan,” ujarnya.

Sementara itu bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen, Dr Mahathir berkata, kerajaan masih meneliti mengenai cadangan pengurangan penjawat awam sebagaimana yang dinyatakan beliau sebelum ini.

Menurut beliau, kerajaan kini mempunyai pilihan samada mengekalkan penjawatan awam di jabatan tertentu atau mengswastakan jabatan dalam kerajaan.

“Kita sedang meneliti untuk menumpukan apabila mereka kehilangan jawatan dalam kerajaan apakah mereka dapat jawatan lain di peringkat swasta.

“Kita ada pilihan untuk menyediakan dan memindahkan pegawai ke swasta dan kita boleh swastakan beberapa jabatan dalam kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette