logo plus

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bercadang menambah lebih banyak petak meletak kenderaan berat di kawasan rehatnya untuk mengelakkan pemandu kenderaan berat menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuh raya untuk berehat dan tidur.

Katanya, sebanyak 26 petak meletak kenderaan berat akan disediakan di R&R Bukit Gantang (Arah Selatan) berbanding hanya 8 pada ketika ini.

Lebih banyak petak meletak kenderaan berat akan disediakan di R&R lain seperti Machap (arah selatan) dan Seremban (arah selatan) dalam projek menaiktaraf R&R secara komprehensif yang bermula tahun ini.

PLUS juga berkolaborasi dengan agensi-agensi berkaitan seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengurangkan jumlah kejadian pemandu kenderaan berat berhenti di lorong kecemasan untuk berehat dan tidur sejak beberapa tahun lalu.

Hasilnya, jumlah kemalangan yang disebabkan oleh kenderaan berat berhenti di lorong kecemasan dapat dikurangkan daripada 112 pada tahun 2017 kepada 97 pada tahun 2018.

Langkah tersebut turut menyaksikan hanya tiga kemalangan berlaku sehingga Februari tahun ini berpunca daripada kenderaan berat di lorong kecemasan.

Selain itu, PLUS juga akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) untuk mengkaji keletihan pemandu di lebuhraya kendaliannya.

Menerusi sesi dialog bersama syarikat-syarikat pengangkutan dan logistik serta pemandu-pemandu lori, PLUS berharap dapat mengenalpasti dan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya secara kolektif untuk menangani isu ini secara menyeluruh bagi menjamin perjalanan yang selamat dan selesa untuk semua pengguna lebuh raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast