Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen yang baharu pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Sejarah tercipta pagi ini apabila Ramli Mohd. Nor mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands.

Beliau merupakan orang asli pertama di negara ini yang menjadi wakil rakyat.

Ramli yang segak berbaju Melayu berwarna hitam itu langsung tidak kelihatan gementar, sebaliknya menonjolkan watak cukup yakin, maka tidak hairan kerana hampir 30 tahun berbakti kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang diPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof pada jam 10 pagi.

Mohamad Ariff yang mengalu-alukan kehadiran Ramli turut memberi nasihat tentang tangggungjawab sebagai Ahli Parlimen, khususnya dalam kalangan Orang Asli.

Ramli Mohd. Noor yang berketurunan suku Semai dan berasal dari Pos Mensoon, Cameron Highlands pernah menjawat jawatan Asisten Komisioner dan Ketua Jabatan Jenayah Komersial Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands lalu, beliau yang memperoleh 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) , M. Manogaran (8,800 undi) dan dua calon bebas, Sallehuddin Ab. Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-14 bermula semalam dengan sidang Dewan Rakyat berlangsung sehingga 11 April depan diikuti dengan sidang Dewan Negara sehingga 9 Mei. – MalaysiaGazette