Liew Chin Tong
Senator Liew Chin Tong.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengesahkan peguam warga Perancis yang menyiasat kes Scorpene, William Bourdon ada datang negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong, peguam berkenaan ada bertemu dengannya bagi berbincang mengenai kes berkenaan.

“Ya mereka datang tapi saya tidak boleh dedahkan intipati pertemuan itu. Mereka datang dan berharap Malaysia akan lakukan lebih memudahkan kes berkenaan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, William Bourdon mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, berkaitan skandal pembelian dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

Beliau hadir bersama rakan sejawatnya, Apoline Cagna turut bertemu pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Februari lalu.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, semua kes melibatkan Scorpene sudah diserahkan kepada SPRM dan bukan lagi disiasat oleh Kementerian Pertahanan.

“Untuk pengetahuan, kes itu sekarang di bawah SPRM dan bukan dibawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan,” katanya.

Kapal selam itu dibeli kerajaan Malaysia pada 2002 pada harga AS$1.18 bilion, ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi menteri pertahanan, dengan urus niaga yang penuh dengan kontroversi dan meragukan.

Pada Julai 2017, agensi berita AFP melaporkan penyiasat Perancis mendakwa 2 pegawai syarikat yang terlibat dalam penjualan 2 kapal selam Scorpene itu.

Kapal selam itu yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak, masing-masing tiba di Malaysia pada September 2009 dan Julai 2010. – MalaysiaGazette