Wan Saiful Wan Jan
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan bersama perwakilan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan selepas Perisdangan Tahunan 2018 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan (GPMSWP) menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha mana-mana pihak untuk mempromosi dan menghidupkan gaya hidup songsang di negara ini.

Timbalan Pengerusinya, Mohd. Faizan Alias berkata, perlakuan itu bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam bahkan menyalahi undang-undang.

“GPMSWP menolak segala unsur negatif terutama golongan songsang, bukan saja salah di sisi agama tetapi mereka juga amat berani berhimpun tanpa kebenaran di tempat awam.

“Mereka telah mencetuskan kemarahan banyak pihak terutama umat Islam, termasuk badan bukan kerajaan dan persatuan Islam seperti kami,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Mohd. Faizan mengulas tindakan sekumpulan pihak menggunakan perarakan Hari Wanita di sini, Sabtu lalu untuk mempertahankan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Himpunan itu memfokuskan lima tuntutan, iaitu menggesa supaya keganasan berdasarkan gender dan orientasi seksual dihentikan; melarang semua perkahwinan kanak-kanak; menjamin hak-hak wanita terhadap diri dan kehidupan mereka; memastikan gaji minima RM1,800 dan menghapuskan patriaki (ketuanan lelaki) dalam masyarakat.

Himpunan yang berarak dari Dataran Merdeka dan berhimpun di pusat beli-belah Sogo itu turut melaungkan slogan seperti ‘Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.

Mohd. Faizan juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur kerana tindakan mereka didakwa mencabar kedaulatan negara.

“Pihak penganjur sepatutnya berfikiran waras kerana tindakan mereka amat salah di sisi undang-undang dan agama.

“Ini kerana ajaran atau nilai moral yang diperjuangkan itu tidak sesuai dan tidak boleh sama sekali diamalkan di Malaysia yang majoritinya beragama Islam malah ia mencabar kerajaan Malaysia,” katanya.

Kesal dengan tindakan kumpulan songsang itu, GPMSWP sedia membantu golongan ini untuk kembali ke pangkal jalan melalui program-program ilmiah dan sesuai dengan matlamat penubuhan NGO itu.

“GPMS sering melakukan program ilmiah bagi mendidik generasi masa datang lebih menjadi modal insan supaya tidak terjerumus ke kancah songsang ini.

“Tidak lama lagi GPMSWP juga akan menganjurkan wacana bersama agensi dan juga menjemput panel politik bagi membincangkan masalah songsang ini.

“Sehubungan itu, kerajaan dan masyarakat harus bersama membanteras segala anasir yang boleh mengugat keamanan negara.

“Golongan ini akan mencetuskan sedikit kekeliruan dan jangan sesekali mencabar kesabaran umat Islam di negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette