BELIAU merupakan seorang penagih dadah tegar sejak remaja. Penjara, lokap dan pusat serenti pernah menjadi rumah keduanya.
Lebih 20 tahun anak kelahiran negeri Melaka ini menghambakan diri dengan najis dadah hingga beliau sendiri hampir putus asa untuk meneruskan kehidupannya.
Namun beberapa hari sebelum umurnya mencecah 40 tahun, tiba-tiba terdetik di hati Arfidah Ab Latif untuk ‘lari’ dari kehidupan gelap yang dilaluinya selama ini.
Beliau teringat pada kata-kata, seseorang itu kalau tidak berubah dalam usia sebegini, dia mungkin tidak akan berubah buat selama-lamanya.
Arfidah nekad.
Dengan nasihat seorang rakannya, beliau pergi untuk mendapatkan rawatan pemulihan dadah di sebuah perkampungan tepi pantai di Kuala Muda, Kedah.
” Sepanjang saya bergelumang dengan dadah, saya tidak pernah tengok cahaya matahari, saya tidak pernah tengok suasana Subuh, saya rasa dunia saya sangat-sangat sempit.
” Ketika umur saya 39 tahun, saya masuk ke pusat serenti di Bachok, Kelantan selama hampir setahun lamanya namun saya hanya mampu bertahan selama enam bulan sebelum ‘tewas’ kembali.
” Akhirnya saya nekad ke Kuala Muda untuk menjalani rawatan tradisional secara sukarela, di sana saya diberi minum air biak dan belajar kitab-kitab agama, saya seorang sahaja perempuan ketika itu dan Alhamdulillah sejak itu saya merasai kemanisan untuk berubah dan beribadah,” katanya.
Menurut Arfidah, antara cabaran pertama selepas beliau ‘berubah’ adalah untuk mencari pekerjaan bagi menampung kehidupannya namun ia ternyata tak semudah yang disangka.
Disebabkan tidak ada pekerjaan dan mempunyai terlalu banyak masa terluang, Arfidah tahu beliau mesti berbuat sesuatu dan ‘menyibukkan’ dirinya.
Ini kerana, Arfidah tidak mahu ‘kekosongan’ itu akan mendekatkan beliau kembali kepada penagihan dadah.
Memandangkan beliau tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur, setiap pagi beliau akan pergi menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Kampung Baru yang terkenal itu.
Selepas Subuh, beliau tidak pulang ke rumah, sebaliknya beliau tunggu untuk menunaikan pula Solat Dhuha pula di masjid berkenaan.
” Masa itu saya akan berulang-alik dari rumah ke masjid sehingga selesai solat Isyak, di sebelah malam saya akan berjalan kaki pula ke Lorong Haji Taib, Chow Kit untuk bertemu rakan-rakan penagih saya.
” Namun kali ini saya datang bukan untuk menghisap dadah, sebaliknya datang untuk menyapu dan membersihkan lorong berkenaan bagi memudahkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang ke sana untuk membuat kerja-kerja amal membantu para penagih di situ.
” Melihatkan komitmen saya, ada sebuah NGO telah melantik saya menjadi sukarelawan di lorong tersebut dengan bayaran RM25 sehari,” katanya.
Menurut Arfidah, beliau juga diberi tugasan untuk menghantar penagih dadah bagi mendapatkan rawatan di Kuala Kedah, tempat yang sama waktu dia mendapatkan rawatan ketagihan dulu.
Tambahnya, tidak lama kemudian, beliau mendapat pula tawaran untuk bekerja dengan NGO terkenal iaitu P.T Foundation yang pejabatnya terletak di kawasan yang sama.
Ujarnya, walaupun ketika itu beliau hanya diberi jawatan tukang sapu namun di situ jugalah beliau belajar banyak perkara mengenai seluk beluk dunia dunia NGO khususnya yang terlibat dalam kerja-kerja amal membantu penagih dadah dan pekerja seks.
Katanya, enam bulan kemudian, daripada hanya seorang tukang sapu, beliau dinaikkan pangkat pula sebagai pembantu pentadbiran.
Membuka rumah perlindungan sendiri di Lorong Haji Taib
Menurut Arfidah, walaupun sepanjang bertugas di P.T Foundation beliau berpeluang mempelajari banyak perkara mengenai pengurusan rumah perlindungan, beliau ketika itu tidak pernah terfikir untuk membuka sebuah rumah perlindungan sendiri.
Katanya, namun segalanya berubah apabila kediamannya sering dikunjungi para penagih dan pekerja seks yang datang untuk menumpang tidur dan mendapatkan makanan.
Tambahnya, disebabkan beliau cukup dikenali orang warga ‘Lorong Haji Taib’, mereka selalu akan datang untuk berehat di laman rumahnya.
” Mereka ni kenal saya dan tahu kat mana saya tinggal, bila mereka lalu di hadapan rumah saya, mereka akan meminta izin untuk tidur di kawasan laman rumah saya itu sementara menanti siang. Selalunya saya akan turut memasak dan memberi makanan untuk mereka mengalas perut.
” Rupa-rupanya perkara tersebut ‘dihidu’ oleh beberapa agensi kerajaan separti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK). Ketika inilah Pengarah JAWI ketika itu meminta saya mencari sebuah rumah sewa untuk dijadikan rumah perlindungan di mana saya sendiri diminta untuk mengendalikannya sepenuh masa.
” Akhirnya pada tahun 2008, tertubuhlah Rumah Perlindungan Sinar Salam di Lorong Haji Taib di mana saya mengendalikan banyak kes-kes penagih dadah wanita, remaja hamil luar nikah, pekerja seks yang menghidap HIV/Aids dan banyak lagi,” ujarnya.
Namun ibarat ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.
Tambah Arfidah, setelah agak lama beroperasi, pemilik premis tiba-tiba menaikkan sewa bulanan hingga memaksa beliau memindahkan semula rumah perlindungan itu ke rumahnya sendiri.
Teratak Arfidah
Menurut Arfidah, walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai pahit getir dalam menguruskan rumah perlindungan tersebut, beliau tetap tabah dan cekal kerana percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
Ternyata telahan beliau betul.
Tak lama kemudian Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju memberi peruntukan kepada banyak NGO-NGO bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti dan Rumah Perlindungan Sinar Salam adalah di antara penerimanya.
Tambah Arfidah, dengan duit tersebut, beliau nekad untuk ‘berhijrah’ dari Chow Kit dan Kampung Baru ke sebuah kawasan yang lebih kondusif dan selesa untuk pelatih yang berada di bawah jagaannya.
” Sebenarnya sebelum ke Bukit Beruntung, saya mencari lokasi terbaik untuk memindahkan rumah perlindungan ini di sekitar ibu negara namun sewa premisnya terlalu mahal untuk ditanggung NGO kecil seperti saya.
” Hanya di Bukit Beruntung saya dapat kadar sewa yang murah, Alhamdulillah bukan saja murah, rumah bersaiz banglo ini sangat luas hingga membolehkan saya menerima lebih ramai penghuni yang kebanyakannya dicadangkan oleh pihak hospital sendiri kepada kami,” katanya.
Di sini, kata Arfidah, penghuninya diajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan agama, bahasa Inggeris, kemahiran dan pelbagai lagi sebagai persiapan untuk mereka kembali kepada masyarakat.
Malah, katanya, penghuni yang berpenyakit terutama yang menghidap penyakit kronik seperti HIV/Aids juga akan dihantar menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh selain ubat-ubatan mereka disediakan seperti mana yang dinasihatkan pakar-pakar perubatan.
Perjuangan sehingga menutup mata
Arfidah mengakui, dalam usianya yang mencecah 65 tahun, kudratnya tidak lagi seagresif dulu namun beliau tekad untuk terus membela bekas-bekas penagih dadah wanita dan bekas pekerja seks ini hingga nafasnya yang terakhir.
Katanya, cabaran paling hebat yang beliau hadapi sekarang adalah rintangan daripada segi kewangan.
Ujarnya, walaupun mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), namun ia masih belum mencukupi.
Kata Arfidah, contoh paling dekat adalah kos pengangkutan untuk membawa penghuninya mendapatkan rawatan di hospital.
Ujarnya, jarak yang agak jauh daripada rumah perlindungannya ke hospital membuatkan kos menjadi sangat tinggi terutama dari segi petrol dan bayaran tol.
” Adakalanya sampai saya takut…takut tak ada duit minyak…takut tak ada duit tol. Memang saya dapat bantuan, namun ia tidak mencukupi. Mana nak tanggung kos makanan, pekerja, pengurusan dan macam-macam lagi.
” Memang saya kenakan bayaran untuk duduk di sini tetapi bukan semua yang mampu bayar, kena pulak mereka yang datang dari keluarga yang susah, takkan saya nak paksa. Saya serah pada Allah saja tetapi
saya bersyukur kerana Allah berikan saya tenaga luar biasa untuk saya meneruskan perjuangan saya ini.
” Kalau bukan saya, siapa lagi yang akan membela nasib mereka…dahlah dari keluarga hingga ke masyarakat di luar sana menganggap mereka ini sampah masyarakat…saya cuma berharap sebelum saya menutup mata, saya dapat menyediakan sebuah lagi rumah untuk golongan bekas penagih dadah terutama mereka yang berusia, yang dah tua…bayangkan dalam usia sebegini…dengan status mereka…kat manalah lagi mereka nak pergi,” katanya dengan linangan airmata di pipinya.
Kata Arfidah, doanya cuma satu iaitu agar Allah terus memberikannya kesihatan yang baik agar perjuangannya untuk membela para penagih dadah wanita ini dapat beliau teruskan sehinggalah beliau menutup mata.
Teratak Arfidah terletak di No 10, Jalan Ros 4B, Bukit Beruntung, Selangor dan segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 164025909685 (Arfidah Ab Latif). Beliau boleh dihubungi di talian 017-3631620. – Malaysia Gazette
https://www.youtube.com/watch?v=3rgZphuUsUk