Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kuasa menggugurkan pertuduhan dalam suatu kes hanya boleh dilakukan oleh Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan tidak mencampuri keputusan  tersebut kerana ia hanya boleh dibuat oleh Peguam Negara.

“Dalam perkara ini kita dapat fahamkan bahawa pihak Peguam Negara ada hak di bawah peruntukan perlembagaan untuk menjalankan atau memberhentikan apa-apa pertuduhan terhadap seorang tertuduh walaupun kes dalam prosoding di mahkamah.

“Itu adalah hak dan kuasa Peguam Negara untuk membuat keputusan. kerajaan tidak mencampuri keputusan dibuat oleh Peguam Negara,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai permintaan Vietnam agar rakyatnya dilepaskan daripada tuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong Nam.

Menteri Luar Vietnam, Pham Binh Minh telah berhubung dengan rakan sejawatnya, Datuk Saifuddin Abdullah meminta Malaysia melakukan perbicaraan adil dan membebaskan Doan Thi Huang,” kata kerajaan Vietnam dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata, sehingga kini tiada permintaan yang dibuat oleh kerajaan negara itu.

Dilaporkan kerajaan negara itu menghubungi Malaysia pada Selasa yang lalu, selepas Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggipada 11 Mac yang lalu.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes bunuh Jong-nam: Vietnam mahu Doan Thi Huang dibebaskan