KUALA LUMPUR – “PM saya tidak pernah cakap mahu tutup MAS”.
Itu reaksi Lim Guan Eng yang mendakwa Datuk Seri Najib Razak telah menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai pendirian kerajaan terhadap Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).
Menteri Kewangan itu menyelar tindakan Najib mengeluarkan kenyataan yang memesongkan persepsi rakyat kononnya kerajaan akan menutup operasi Malaysia Airlines.
“Bekas PM itu cuba berlagak seperti PM kami. Tapi PM saya tak pernah cakap pun kami akan tutup MAS.
“Tun Mahathir hanya cakap pasal pelbagai opsyen yang dikemukakan dan dipertimbangkan untuk mencari penyelesaian dalam isu MAS, bukannya terus mahu tutup MAS.
“Tapi dia (Najib) keluarkan kenyataan kononnya kita akan kehilangan MAS dan akan ditutup (operasi), saya harap mari kita lihat teliti apa yang dicakap oleh Tun kita tidak akan kehilangan MAS,” katanya dalam sidang media hari ini.
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menutup, menjual atau membiayai semula Malaysia Airlines yang mengalami masalah kewangan.
Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang melihat beberapa pilihan bagi syarikat penerbangan itu dan keputusannya akan diumumkan tidak lama lagi.
Tidak lama kemudian Najib meminta kerajaan jangan menjual syarikat berkenaan kerana pelan pemulihan Malaysia Airlines sedang berjalan,
Selain itu, kata Najib, Malaysia Airlines adalah lambang negara, selain setiap negara memiliki syarikat penerbangan sendiri dan Malaysia perlu pertahankan entiti tersebut.
Guan Eng berkata, beliau kesal dengan Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa sengaja cuba mencetuskan kerosakan, panik dan ketakutan yang tidak sepatutnya dalam kalangan rakyat dan kakitangan Malaysia Airlines.
“Sebagai bekas PM memang dia cuba cetuskan keadaan tidak senang, mungkin pada masa hadapan dia akan ada banyak lagi kenyataan.
“Saya sarankan lebih baik dia fokus dengan haiwan peliharaan anjing (sindir peguam Shafie) dan haiwan yang dia ada (kucing),” katanya. – MalaysiaGazette