KUALA LUMPUR – Sebuah kilang pengeluar komponen elektrik di Bukit Rambai Melaka akan didakwa oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana didapati telah memotong gaji pekerja tetapi gagal membayar caruman.

Kes itu disiasat susulan laporan kemalangan di tempat kerja ke atas seorang pekerja, Noor Sykira Syazlin Mat yang menyebabkan tubuhnya terbakar 52 peratus pada 23 Februari lalu.

Perkeso berkata, siasatan telah dijalankan didapati majikan pekerja berkenaan telah memotong gaji pekerja tetapi caruman tidak dibayar kepada agensi itu.

Majikan turut didapati telah gagal membayar caruman bukan sahaja untuk pekerja ini malahan melibatkan kesemua pekerja mereka bagi tempoh Julai 2018 hingga Jan 2019.

Katanya, kilang itu hanya membayar tunggakan caruman terbabit melibatkan semua pekerja pada 11 Mac 2019 selepas kemalangan berlaku.

“Hasil siasatan juga mendapati majikan telah lewat mendaftar pekerja ini kerana hanya mendaftar pekerja ada 11 Mac 2019 sedangkan beliau telah diambil bekerja mulai 17 Disember 2018.

“Kelewatan ini merupakan satu kesalahan dibawah seksyen 5, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Justeru itu, PERKESO akan mencadangkan bahawa majikan untuk didakwa kerana gagal membayar caruman dalam tempoh masa yang ditetapkan,” tambahnya.

Jika sabit kesalahan, majikan boleh dihukum dibawah seksyen 94 iaitu penjara 2 tahun atau denda tidak lebih RM10,000.00 atau keduanya.

Majikan juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar di bawah seksyen 14A, Akta 4. bagi menuntut dua kali ganda jumlah caruman yang majikan telah mungkir atau cuai membayar caruman yang bertanggungan bagi faedah orang itu untuk dibayar mengikut kadar yang sepatutnya dia berhak.

Perkeso memberitahu, oleh kerana kemalangan ini dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan, maka Faedah Hilang Upaya Sementara pertama telahpun dibayar kepada mangsa pada 11 Mac 2019 bagi tempoh beliau diwadkan mulai tarikh kemalangan sehingga 10 Mac 2019.

Malah, Perkeso akan menanggung semua kos rawatan di hospital kerajaan secara percuma. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast