Ismail Nasaruddin
Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin bercakap pada sidang media mengenai isu penswastaan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines di Pejabat NUFAM, Empire Shopping Galeria, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MAC 2019

SUBANG JAYA – Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mendakwa Malaysia Airlines akan terus mengalami kerugian kerana memiliki pengurusan yang tidak bijak.

Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin menjelaskan, faktor masalah yang dihadapi Malaysia Airlines kebiasaannya melibatkan pengurusan tertinggi yang membuat keputusan namun pekerja bawahan kemudiannya menjadi mangsa.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengkaji lebih mendalam masalah melibatkan Malaysia Airlines namun menutup syarikat tersebut bukan langkah penyelesaian terbaik.

“Sebelum kerajaan mahu tutup MAS, kaji dari semua segi dan kenalpasti dari mana masalah itu datang. Dulu kata disebabkan ada ramai pekerja, ramai diberhentikan tapi MAS tetap mencatat kerugian.

“NUFAM pernah kata dulu jangan salahkan pekerja kerana ada syarikat penerbangan mempunyai berbelas ribu pekerja namun tetap mencatatkan keuntungan.

“Perkara perlu dilihat adalah pengurusan tertinggi. Adakah mereka betul-betul boleh pegang jawatan itu dan adakah mereka benar-benar menjalankan tugas dengan sebaiknya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau membuat penjelasan mengenai kemelut yang melanda kembali syarikat penerbangan nasional itu berikutan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan mengkaji pelbagai pilihan sebelum membuat keputusan mengenai masa depan syarikat iu.

Ismail menambah NUFAM pernah memberi idea kepada kerajaan sebelum ini berhubung pilihan boleh diambil untuk menyelamatkan Malaysia Airlines namun cadangan mereka tidak dihiraukan.

Tegasnya, NUFAM sedia untuk terus berkongsi idea kerana Malaysia Airlines sebenarnya sebuah syarikat yang mampu menjana keuntungan jika diuruskan dengan lebih baik.

“Kita cadangkan kepada kerajaan untuk duduk dengan kita, bincang perancangan selamatkan Malaysia Airlines. Masalahnya sekarang mereka tidak mahu dengar cadangan dan pilihan untuk selamatkan syarikat itu.

“Pada kami, masalahnya bukan dari pekerja atau orang tengah tapi daripada pengurusan tertinggi. Dari laporan kata disebabkan kenaikan harga minyak dan ekonomi tidak menentu tapi masalahnya kerana kekurangan kecerdikan mereka yang uruskan syarikat itu,” ujar beliau.

Ismail memberitahu, ia cadangan mudah agar Malaysia Airlines ditutup namun kesannya sangat besar terutama kepada ribuan pekerja yang akan kehilangan mata pencarian.

“Ada yang cakap tutup saja Malaysia Airlines beri cadangan begitu memang senang tapi adaka mereka fikir nasib ribuan pekerja yang hilang kerja selepas Malaysia Airlines ditutup? Sebab itu perlu tahu masalah sebenar.

“Kalau hendak tahu masalah sebenar, tanya pekerja Malaysia Airlines, mereka lebih tahu. Kalau jumpa pekerja pun tak pernah tapi nak cakap pasal Malaysia Airlines, saya fikir janganlah,” katanya. – MalaysiaGazette