JOHOR BAHRU – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan mengkaji semula keberkesanan undang-undang berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ekoran dari pencemaran serius, akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Cadangan untuk mengkaji semula akta berkenaan, berikutan terdapat desakan rakyat yang melihat hukuman terhadap pesalah tidak berat, dan mereka mampu membayar denda yang dikenakan.

“Kita ambil perhatian mengenai perkara itu, selalu kita berdepan dengan racun air atau solid (tetapi) ini gas yang kita tak pernah tangani. Kita akan mengkaji sama ada (akta itu) perlu diperkuat atau tidak,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat mangsa-mangsa kejadian itu di Hospital Sultan Ismail, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan untuk mengkaji semula akta berkenaan.

Ketika ditanya mengenai suspek yang dijangka didakwa di mahkamah hari ini, Dr Mahathir berkata perlu ada bukti yang kukuh sebelum tindakan pendakwaan dapat dilakukan.

“Kita kena tentukan sebelum buat dakwaan…jangan kita tuduh dengan sewenang-wenangnya dan terkena kepada orang yang tidak bersalah.

“Kita perlu buat siasatan supaya kita dapat tentukan dari mana datangnya bahan (sisa kimia) ini,” kata Perdana Menteri.

Turut bersama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Sebelum ini, tiga suspek yang ditahan Jabatan Alam Sekitar disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast