Iran terus menerima tekanan ke atas import minyaknya oleh Amerika Syarikat. foto AGensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat mensasar untuk mengurangkan eksport Iran sebanyak 20 peratus lagi kepada di bawah sejuta tong sehari mulai bulan Mei ini dengan meminta negara-negara pengimport menurunkan pembelian bagi mengelakkan dikenakan sekatan.

Presiden Donald Trump mahu menghentikan eksport minyak Iran, dengan itu dapat menjejaskan sumber pendapatan utama Tehran.

Washington memberi tekanan kepada Iran untuk mengurangkan program nuklearnya dan menghentikan sokongan kepada militan di Timur Tengah.

Amerika Syarikat kemungkinan akan memperbaharui pengecualian ke atas sekatan bagi kebanyakan negara yang membeli minyak mentah Iran, termasuk China dan India.

Dengan kaedah itu, eksport minyak Iran berada di sekitar 250,000 tong berbanding 1.25 juta tong sehari.

“Matlamat sekarang untuk mengurangkan eksport minyak Iran di bawah sejuta tong sehari,” menurut sumber.

Katanya, pentadbiran Trump tidak mungkin mahu memberi tekanan mengharamkan eksport Iran dalam masa jangka pendek kerana kaedah itu akan melonjakkan harga minyak.

Amerika Syarikat mengenakan sekatan semula ke atas Tehran pada bulan November tahun lalu selepas menarik semula Perjanjian Nuklear 2015 antara Iran dan enam negara kuasa dunia.

Antara tiga pengimport utama minyak Iran ialah India, China dan Turki.

China dan India mengimport sekitar 800,000 hingga 900,000 tong sehari.

Washington juga telah memberi tekanan kepada Jepun dan Korea Selatan untuk mengurangkan pembelian minyak mentah Iran, tambah sumber. – MalaysiaGazette