Mohamad Ariff Md Yusof

KUALA LUMPUR – Setelah gesaan pelbagai pihak berhubung pencemaran Sungai Kim Kim di daerah Pasir Gudang, Johor akibat pembuangan toksik, Dewan Rakyat membuat keputusan membahaskan usul tergempar itu pada 4.30 petang ini.

Usul itu dibenarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof selepas dibentangkan Ahli Parlimen Pasir Gudang (PH), Hassan Abdul Karim dan disokong oleh Ahli Parlimen Kuala Krau (BN), Datuk Seri Ismail Mohamed Said sebentar tadi.

Kata Mohamad Ariff, usul berkenaan memenuhi tiga kriteria iaitu menyentuh kepentingan ramai, perlu disegerakan dan melibatkan perkara tertentu.

Terdahulu, Hassan mendesak Kerajaan Persekutuan supaya tidak memandang remeh isu pencemaran bahan toksik di Pasir Gudang dan segera mengisytiharkan perintah darurat bagi mengelakan perkara tidak diingini.

Malah, Hassan untuk seketika kelihatan ‘hilang sabar’ kerana usul tergempar yang dibawa olehnya tentang isu pencemaran sisa kimia hanya akan dibahaskan pada Isnin depan.

“Saya sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang ingin meminta untuk menyampaikan mesej saya kepada kerajaan Persekutuan mendesak perintah darurat di kawasan ini hari ini juga.

“Pagi tadi saya telah hantar surat kepada Yang di-Pertua Dewan bagi supaya usul tergempar dibentangkan hari ini dan bukannya Isnin akan datang.

“Saya minta soal teknikal diketepikan, ini soal nyawa, saya minta usul darurat ini  dibincangkan dan dibahaskan hari ini,” katanya ketika sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat sebentar tadi. –MalaysiaGazette

Wakil rakyat Pasir Gudang kesal usul isytihar darurat hanya dibentang Isnin